Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk membayar 1.2 juta Dolar US atau kira kira RM 4.9 juta kepada bekas pemain mereka, Mohamadou Sumareh.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dimana pihaknya telah menerima salinan keputusan daripada FIFA kepada PBNP dua hari lalu.

PBNP perlu menyelesaikan tunggakan yang dinyatakan dalam tempoh 45 hari atau bakal berdepan tindakan tidak dibenarkan untuk mengambil pemain baharu atau transfer ban pada jendela perpindahan yang akan datang.

Tempoh pembayaran berkuat kuasa sebaik Sumareh telah menyerahkan notis butiran akaun bank kepada PBNP.

Andai gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan, PBNP akan berdepan tindakan tatatertib FIFA.

Namun mereka boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 10 hari dari tarikh notis keputusan dikeluarkan dan jika masih gagal menemui titik noktah, PBNP boleh melanjutkan kes ini sebagai rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Jumlah bayaran USD 1.2 juta adalah berdasarkan jumlah hutang dalam tahunan ditambah dengan pelanggaran kontrak untuk musim 2020 dan 2021.

Pahang dan Sumareh ‘berperang’ tahun lalu selepas pemain itu dikhabarkan ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan tanpa sebarang notis dan menyertai kelab Thailand, Polis Tero FC.

Sumareh mendedahkan PBNP telah melanggar kontrak apabial gagal melunaskan gajinya sekaligus mengaktifkan klausa 8.7.

Keadaan semakin keruh apabila Sumareh membawa perkara ini ke FIFA sementara PBNP  mengenakan ‘penggantungan’ selama dua tahun ke atas pemain itu.

- Advertisement -