Fikri Makram Rosdi dan Sasha yakin Malaysia dominasi kriket di Sukan Sea KL2017

Oleh Muhammad Aiman

Keyakinan cukup tinggi dalam diri pemain kriket kebangsaan, Fikri Makram Rosdi dan Sasha Azmi betapa pasukan negara tidak akan bermasalah untuk mendominasi sukan kriket di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Persatuan Kriket Malaysia sebelum ini meletakkan sasaran untuk membolot kesemua tiga pingat emas yang ditawarkan dan kenyataan bahawa sukan itu bakal dipertandingkan buat pertama kalinya di temasya dwitahunan itu sudah cukup untuk membakar lagi semangat dan motivasi kedua-dua pemain itu.

Fikri yang menganggotai skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun dan boleh dianggap sebagai salah seorang pemain tonggak skuad negara berkata, “Sebelum ini kriket hanya pernah dipertandingkan di Sukan Asia (2010 dan 2014). Ia pastinya sesuatu yang manis untuk mengucup emas pertama kriket di Sukan Sea, lebih-lebih lagi di bumi sendiri.

“Dengan peningkatan yang ditunjukkan pasukan negara sejak beberapa tahun kebelakangan (dulu kita di Divisyen 5 sekarang kita di Divisyen 3), ranking naik ke 23 dunia, serta pelbagai program dan perlawanan yang diatur menjelang Sukan Sea, saya yakin kita boleh capai sasaran itu. Memang kami semua mahu pastikan emas itu milik Malaysia.”

Untuk rekod, penglibatan Fikri, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang berasal dari Kota Bharu dalam sukan kriket bermula sejak usianya sembilan tahun dan dia melangkah mencipta nama dalam arena kriket menerusi sokongan Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

Sementara itu bagi Sasha, pemain muda berusia 16 tahun yang juga berasal dari Kelantan, kejayaan di pentas Sukan Sea akan menjadi satu lagi tanda aras baru dalam kariernya sebagai seorang atlet selepas memenangi beberapa kejohanan di peringkat umur.

“Semakin tidak sabar rasanya untuk bermain di Sukan Sea, cukup teruja kerana ia adalah sukan terbesar di Asia Tenggara dan saya mahu pasukan kita mencatat sejarah sebagai pasukan pertama menang emas kriket di Sukan Sea, dan sudah tentunya ianya sesuatu yang hebat untuk menjadi sebahagian daripada sejarah itu,” ujarnya.

Kedua-dua pemain ditemui Sports247 dalam satu temuramah esklusif di Kompleks Sukan Bayuemas, Pandamaran. 

Di Kuala Lumpur 2017 nanti, dua pingat emas akan menjadi rebutan bagi kategori lelaki iaitu One Day International dan T20 sementara bagi kategori wanita, hanya mempertandingkan kategori T20.

- Advertisement -