Marcus Fraser dari Australia dan pemain Sepanyol, Nacho Elvira berkongsi kedudukan selaku pendahulu pada pusingan pertama Kejohanan Golf Maybank 2019 selepas mencatat tujuh bawah par 65 di Saujana Golf and Country Club, Subang, di sini hari ini.

Fraser, yang menjuarai saingan sulung kejohanan berkenaan pada 2016, tidak menyangka berada di kedudukan tersebut kerana menyifatkannya sebagai ‘pemain golf sambilan’ pada masa kini.

“Pada masa kini saya anggap saya pemain golf sambilan. Alangkah bagus dapat beraksi di lapangan golf ini dan bermain seperti biasa dan tidak seperti dulu.

“Saya rasa jika anda mempunyai pemikiran seperti itu ia mungkin membantu. Saya lagi terkejut berbanding orang lain kerana mampu melakukan tujuh bawah par,” kata Fraser.

Elvira, dalam pada itu, gembira dengan keputusannya kerana beliau beraksi tidak begitu baik dalam beberapa minggu lepas, musim ini.

“Secara jujurnya melakukan tujuh bawah par adalah terbaik. Berdasarkan rekod saya di sini yang tidak begitu cemerlang, 66 pukulan dianggap sangat bagus,” kata pemain Sepanyol itu.

Sementara itu, pemain Filipina Angelo Que memulakan saingan kejohanan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$3 juta (kira-kira RM12.2 juta) itu dengan cemerlang apabila melakukan sembilan bawah par selepas 11 lubang.

Bagaimanapun, dua double-bogey di lubang ke-15 dan 16 menafikan kedudukannya untuk muncul selaku pendahulu selepas pusingan pertama itu.

Que menamatkan cabaran hari ini dengan berkongsi di tempat ketiga bersama Matthias Schwab dari Austria dan pendahulu Order of Merit Jelajah Asia musim ini, Jazz Janewattananond dari Thailand.

Jazz yang merupakan juara tiga kali Jelajah Asia, menampilkan aksi terpuji apabila melakukan tujuh birdie dan satu bogey, ketinggalan satu pukulan di belakang pendahulu dengan mencatat 66 pukulan.

Sementara itu, juara bertahan Shubhankar Sharma berkongsi di kedudukan ke-40 setelah melakukan satu bawah par 71.

Nicholas Fung muncul pemain terbaik Malaysia pada pusingan pembukaan hari ini, selepas mencatat empat bawah par 68.

— BERNAMA

- Advertisement -