Berbaki tiga hari sebelum Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) berakhir, takhta liga sentiasa berubah apabila pemain mewakili pasukan Kedah, Muhammad Imran Burhanudeen menghuni kedudukan teratas selepas cemerlang memenangi 6 perlawanan berturut-turut setakat ini.

Imran atau lebih dikenali sebagai Imrandeen mempamerkan aksi memuaskan dalam tempoh dua hari kejohanan ini apabila berjaya memperbaiki kedudukan daripada tempat keempat untuk menghuni tangga teratas mengatasi pemain dari PDRM, Ahmad Shahrin Shaharudin atau Ayen yang sebelum ini kekal rekod bersih tanpa kalah untuk berada di tempat ketiga.

Sepanjang kejohanan ini berlangsung, tiada seorang pemain pun yang berjaya mengekalkan kedudukan teratas dengan lama apabila keputusan sentiasa berubah selain aksi yang ditampilkan oleh 12 pemain yang bertanding ini sukar dibaca dan agak sukar untuk menjangkakan siapakah yang layak bergelar juara sehingga ke hari terakhir, Jumaat ini.

“Semalam memang hari bertuah saya untuk mencatat kemenangan dan berjaya merampas takhta liga daripada Ayen.

“Tetapi, melihat kepada perlawanan setakat ini, tiada seorang pun pemain yang berjaya kekal lama di teratas dan saya harap saya mampu untuk mengekalkan momentum ini sehingga hari terakhir kami.

“Mungkin hari ini saya di atas, tetapi esok, tidak mustahil pemain lain yang berada di bawah mampu meningkat untuk berada di atas pula.

“Apa-apa pun, perlawanan dah tak banyak, jadi saya kena fokus betul-betul untuk pastikan kedudukan ini kekal”, katanya.

 

Pemain FIFA nombor satu Malaysia, Luqman Haziq Hajiman mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula mengakui kejohanan kali ini agak mencabar untuknya kerana sesiapa sahaja berpeluang untuk meraih kejuaraan tidak kira mereka berada di ranking berapa sekalipun.

Bahkan, dirinya yang mencuri tumpuan pada awal perlawanan juga agak bergelut untuk kekal di tangga teratas dan kini menghuni kedudukan kedua dengan 30 mata secara keseluruhan.

“Memang saya sudah jangka kejohanan kali ini betul-betul menguji kekuatan kami sebagai pemain dan sesiapa sahaja mampu menguasai perlawanan dan pelbagai kejutan boleh berlaku.

“Macam saya sendiri, memang susah nak kekalkan kemenangan berturut-turut dan setakat ini mampu menghuni tangga kedua di bawah Imrandeen.

“Setiap pemain mempunyai corak permainan tersendiri, dan saya memang kena bekerja dengan lebih keras untuk cuba merampas kembali kedudukan teratas sehingga tamat kejohanan”, jelasnya.

- Advertisement -