Kehadiran beberapa pemain berpengalaman terutama di bahagian pertahanan membuatkan Annas Rahmat mampu tersenyum dalam mengharungi gelora Liga Super musim 2022 bersama Negeri Sembilan FC.

Jelas tonggak pertahanan yang berusia 28 tahun berkenaan, dia cukup teruja apabila mengetahui bekas pemain import Sri Pahang FC, Herold Goulon serta bekas pemain Sarawak United FC, Khair Jones akan menjadi rakan sepasukan pada musim ini.

Tambahnya, berdasarkan kualiti fizikal serta teknikal yang dimiliki mereka berdua, dia mengharapkan benteng Negeri Sembilan akan lebih kukuh berbanding musim lalu.

“ Kita tahu persembahan Goulon sepanjang bersama Sri Pahang sebelum ini malah dia juga boleh menjaringkan gol untuk pasukan, rasanya kita tidak boleh lupa jaringan semasa dengan Perak, pada tiga musim lalu.

“ Kualiti fizikal yang dimiliki Goulon juga sememangnya boleh jadi nilai tambah kepada benteng pasukan malah dia juga sudah ada pengalaman beberapa tahun bermain di Liga Malaysia.

“ Manakala Khair, saya pernah menjadi rakan sepasukannya dua tahun lalu di Melaka dan amat mengenali kemampuan dia yang saya sifatkan antara pemain yang bagus.

“ Ditambah dia sememangnya pemain yang gunakan kaki kiri, itu memang perkara yang dimahukan bagi posisi pertahanan kiri, saya harap ketinggiannya juga boleh membantu pasukan,” katanya.

Annas menjadi sebahagian tonggak penting membantu Negeri Sembilan muncul juara Liga Premier 2021 dan sering kali digandingkan bersama Arthur Cunha serta Nasrullah Hanif Johan.

Namun khidmat Arthur tidak lagi disambung bersama semua import lain termasuk Francis Kone, Alain Akono Akono dan Bae Beom Geun dengan Goulon menjadi pengganti yang dibuat jurulatih, K. Devan selain membawa masuk David Mawutor dari Ghana.

Beberapa lagi pemain import baharu yang dijangka akan beraksi di posisi serangan akan diumumkan oleh Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Menurut Annas, selaku pendatang baharu dia berharap Negeri Sembilan mampu terus konsisten kekal di Liga Super bagi tempoh masa yang lama selepas bekerja keras pada musim lalu.

“ Saya harap Negeri Sembilan boleh kekal lama di Liga Super dan bukan sekadar menjdi persinggahan sementara, bukan senang hendak naik balik setelah apa yang diharungi musim lalu.

“ Kami pun tidak jangka boleh juara Liga Premier kerana asalnya letakkan sasaran untuk naik sahaja Liga Super dan harap berdasarkan pencapaian lalu, kami akan lebih positif untuk beri cabaran di Liga Super, ” katanya.

- Advertisement -