Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan menamatkan kempen Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman, di kedudukan kelima selepas menewaskan Thailand 3-0 pada aksi terakhir mereka malam tadi.

Lebih manis apabila perlawanan hari ini menyaksikan Kapten Negara, Juliani Mohamad Din, dipilih selaku pemain terbaik perlawanan dan tempat kelima yang diraih oleh Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, menyamai rekod kejohanan edisi terdahulu (2017) di Kakamigahara, Jepun.

Skuad Wanita Negara membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi gol padang Nur Afiqah Syahzani Azhar yang bijak menyambut bola hantaran jauh daripada Nuraini Abdul Rashid sekaligus menewaskan penjaga gol Thailand, Siraya Yimkrajang dalam situasi satu lawan satu.

Thailand dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada minit kelapan dan peluang untuk kembali mengikat kedudukan itu bagaimanapun tidak berhasil apabila penjaga gol negara, Siti Zalia Nasir bertindak cemerlang menyelamatkan gawang negara.

Minit ke-22, Malaysia menambah jaringan selepas kelebihan pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Kapten Negara, Juliani Mohamad Din yang melakukan flik terus dan kesilapan penjaga gol Thailand ketika cuba menyelamatkan keadaan menyaksikan gol kedua Malaysia terhasil.

Seminit sejurus aksi suku keempat bermula, Malaysia memiliki kelebihan pukulan sudut penalti dan ianya digunakan dengan sebaiknya oleh Skuad Wanita Negara apabila “set-pieces” yang dirancang membuahkan gol ketiga hasil penyudahan yang dilakukan oleh Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Malaysia memiliki peluang untuk menambah gol keempat pada minit ke-50, apabila sekali lagi dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun kali ini pelari pertama Thailand berjaya menyekat flik terus yang dilakukan oleh Nuraini Abdul Rashid untuk menghalang skuad negara daripada menambah jaringan.

Seminit sebelum aksi sebenar perlawanan tamat, penjaga gol negara, Zalia Nasir sekali lagi bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan daripada Suwapat Konthong dan kedudukan 3-0 kekal menutup perlawanan.

Nurjannah Ali

- Advertisement -