Mr Langkawi, Andrea  Guardini yang berbangga dengan rekod kemenangan peringkat 24 kali, tetap menghormati pakar pecut pasukan lain yang menyertai edisi ke-24 Petronas Le Tour de Langkawi 2019 ini, biarpun tanpa nama-nama besar dari pasukan berstatus World Team.

Menurut pelumba Itali yang mewakili pasukan profesional benua Bardiani-CSF itu, LTdL 2019 yang bermula di perkarangan Menara Berkembar Petronas esok hingga berakhir di Langkawi pada 13 April ini, mempunyai cabarannya yang tersendiri, termasuk permulaan Peringkat 1 yang sukar.

“Saya tidak mahu bercakap banyak kerana tidak mahu meletakkan jangkaan yang tinggi tetapi setiap tahun, LTdL mempunyai cabarannya yang tersendiri.

“Lagipun, sebelum datang ke sini, saya hanya sempat menyertai sembilan hari perlumbaan tetapi kemenangan pada jelajah terakhir yang saya sertai di Trofi Istria, memberikan sedikit keyakinan dan saya kini berada dalam kondisi yang baik,” kata pelumba yang mula mencipta nama dalam LTdL pada 2011 dan mengumpul empat gelaran Raja Pecut itu, termasuk pada edisi tahun lalu ketika menguasai Peringkat 1 di Kulim dan Peringkat 8 di Dataran Merdeka.

Guardini berkata, strategi awal Bardiani adalah untuk kekal berada dalam peloton dan rakan sepasukannya bersedia membawanya ke depan untuk mengakhiri perlumbaan dengan pecutan, sambil berusaha menyimpan tenaga untuk menghadapi peringkat landai seterusnya selepas pendakian Genting.

Ditanya siapa yang bakal memberi cabaran kepadanya di laluan landai dalam perlumbaan lapan peringkat itu, Guardini berkata Bardiani akan melihat situasi perlumbaan pada setiap hari untuk menilai pencabarnya.

Antara pakar pecut yang perlu diberi perhatian adalah pelumba Pro Cycling Sunshine Coast, Michael Freiberg yang hadir dengan reputasi selaku juara kebangsaan Australia.

Namun, peminat tempatan pasti mengharapkan pakar pecut Terengganu Inc Cycling Team (TSG), Hariff Saleh mengakhiri penantian panjang dalam LTdL, apabila Anuar Manan memenangi peringkat dalam LTdL 2010.

Hariff yang menghabiskan masa tiga minggu dalam latihan dan perlumbaan di Melbourne menjelang LTdL ini, berkata peluangnya tampak cerah kerana tidak ramai pakar pecut handalan berada dalam senarai pasukan yang bertanding kali ini.

“Tahun lalu saya menduduki tempat ketiga sebanyak dua kali, jadi peluang nampak cerah. Walaupun hanya perlumbaan kecil di Australia, tetapi persaingan cukup sengit dan ini memberi motivasi kepada saya,” kata Hariff.

Rakan sepasukan, Youcef Reguigui pula diharap untuk mengetuai cabaran TSG dalam pendakian ke Genting, seterusnya jersi kuning juara keseluruhan.

Pelumba kelahiran Algeria itu, bersama penyandang juara Artem Ovechkin adalah antara pelumba yang dijangka menyinar di Peringkat 4 ke Genting.

Namun kelibat pelumba kelahiran Colombia yang mewakili Interpro Cycling, Hernan Aguirre yang muncul juara di Qinghai Lake, China pada tahun lalu dan menduduki tangga keempat keseluruhan di Tour of Rwanda sebelum ini, dijangka menghangatkan pendakian ke Genting Highlands, seterusnya dalam persaingan jersi kuning.

Apa sekali pun, LtdL 2019 yang membabitkan jarak keseluruhan 1,226km menyajikan aksi sengit setiap hari dan hanya yang benar-benar kental dan bersedia akan bergelar pemenang.

Perlumbaan lapan peringkat meliputi jarak 1,234km itu bermula dengan kayuhan menyusuri laluan berbukit dan landai sejauh 176.9km dari perkarangan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur ke Dataran Tampin Negeri Sembilan.

Kayuhan ke Genting Highlands, yang kembali mewarnai saingan LTdL selepas empat tahun, berlangsung pada hari ke-4 dari Shah Alam. Langkawi pula menjadi hos mula dan penamat bagi dua peringkat terakhir pada 12 April di Pantai Cenang dan 13 April di Pekan Kuah.

Selari dengan tema PETRONAS LTdL 2019 “Sports Unite, Cycling Contributes”, pihak penganjur mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia  untuk keluar beramai-ramai di sepanjang laluan, venue pemula dan penamat bagi menyokong acara dan memberi semangat buat pelumba.

Peminat sukan di Malaysia dan Eropah boleh mengikuti siaran langsung perlumbaan selama 90 minit dan rangkuman harian selama 30 minit di saluran RTM dan Eurosports di sepanjang lapan hari acara. Penganjur menganggarkan jangkauan liputan ke lebih 100 negara membabitkan 310 juta penonton televisyen dan 70 juta lagi menerusi Cycling.TV.

Pelbagai acara sampingan dan acara berbentuk karnival akan dianjurkan untuk menarik kehadiran dan penyertaan orang ramai si sepanjang laluan dan juga venue mula dan penamat.

- Advertisement -