selangor

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih Selangor, K.Gunalan mengharapkan perkhabaran ceria dari pengurusan bukan sahaja mengenai masa depan pemain dan pegawai, tetapi lebih penting masa depan pasukan itu yang merupakan antara pasukan paling berjaya di arena bolasepak domestik.

Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Selangor diberitakan akan bertemu dengan kesemua pemain dan pegawai hari ini, buat kali pertama selepas kekalahan kepada Kedah dalam aksi final Piala Malaysia 30 Oktober lalu.

Justeru, Gunalan berkata, “Kita harap perkembangan positif dari mereka kerana kita mahu turun berlatih sebagai persiapan untuk musim baru secepat mungkin. Kita masih ada 14 pemain yang ada kontrak sehingga penghujung 2017, dan masing-masing dalam keadaan gusar dan serba salah kerana tidak pasti mengenai masa depan mereka.

“Beberapa pemain tonggak masih kekal bersama pasukan, dan sebarang keraguan mengenai pasukan perlu segera diperjelaskan kerana saya juga perlu mencari dan membawa masuk pemain-pemain baru. Kita cuma ada lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi.”

Meskipun statusnya sendiri masih belum ada jaminan sama ada akan dikekalkan atau tidak, Gunalan yang mengambil alih tugas dari Zainal Abidin Hassan pada Ogos sudahpun memasang tekad mahu mengembalikan kegemilangan bolasepak Selangor dan menebus kecewa gagal mendakap sebarang trofi musim lalu.

Antara pemain masih berkontrak dengan Selangor adalah pemain Indonesia, Andik Vermansyah dan Ahmad Hazwan Bakri namun kedudukan penyerang kebangsaan itu masih dalam keraguan kerana dia dilaporkan sedang diintai beberapa pasukan lain antaranya Johor Darul Takzim.     

Dua pemain, Nazmi Faiz Mansor dan Azmi Muslim pula sudah sah meninggalkan pasukan. Nazmi memilih mengembangkan karier ke JDT manakala Azmi menyertai PKNS FC yang sebelum ini turut terbabit secara tidak langsung dalam kemelut pengurusan FAS.

Gunalan juga dijangka mencadangkan kepada pengurusan untuk mengekalkan khidmat Rizal Fahmi Rosid, S.Subramaniam serta pemain import Oguchukwu Ukah yang memainkan peranan penting membantu pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia.

- Advertisement -