hadin-azman

Oleh Muhammad Aiman

Beraksi dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan menjadi idaman mana-mana pemain, dan Muhammad Hadin Azman tidak terkecuali dari menyimpan hasrat itu tatkala Malaysia bersedia mengharungi aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Myanmar dari 20-26 November ini.

Namun, pemain sayap Felda United itu mengakui ia bukan cabaran mudah merebut kepercayaan membarisi kesebelasan utama apatah lagi ketua jurulatih, Datoā€™ Ong Kim Swee mempunyai banyak pilihan pemain bagi mengisi posisi berkenaan.Ā 

ā€œPersaingan di posisi ini cukup sengit walaupun jurulatih telah gugurkan Safawi (Rasid) kerana masih ada tiga atau empat pemain boleh bermain di kiri. Amri (Yahyah), Zaquan (Adha), Syazwan (Zainon) malahan Fakri (Saarani) dan Norshahrul (Idlan) juga boleh bermain di kiri.

ā€œSiapa yang menjadi pilihan bergantung kepada penilaian jurulatih, tetapi apa yang penting kami semua perlu bekerja keras untuk meyakinkan beliau. Ini penampilan pertama saya di kejohanan besar, sudah tentu saya mahu tersenarai sebagai salah seorang pemain utama dan membantu cabaran Malaysia.

ā€œSaya akan cuba merealisasikan hasrat itu dengan menunjukkan komitmen yang terbaik sepanjang sesi latihan dan harapnya saya mendapat peluang itu,ā€ kata pemain berusia 22 tahun itu yang merupakan antara pemain tempatan paling menyerlah dalam Liga Malaysia musim ini. Ā Ā 

Untuk rekod, Hadin menjaringkan enam gol musim ini untuk membantu Felda United menamatkan Liga Super di tangga kedua seterusnya mara ke Piala AFC tahun depan.

Di sebalik prestasi cemerlangnya, dia hanya berjaya memikat perhatian Kim Swee pada September lalu apabila dipanggil ke kem latihan pusat buat pertama kali dan mencuri tumpuan dalam penampilan antarabangsa keduanya dengan menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Afghanistan 1-1 di Shah Alam pada 11 Oktober lalu.

Hadin sebelum itu diturunkan sebagai pemain gantian ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura (7 Oktober) dan baru-baru ini beraksi dalam 20 minit terakhir ketika menentang Papua New Guinea setelah masuk menggantikan Zaquan.

- Advertisement -