Pelumba KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah yakin beliau mampu memperbaiki prestasi dalam sesi ujian terakhir di Losail, Qatar sebelum bermulanya saingan musim baru pada Mac nanti.
Keyakinan itu dilaungkan pelumba berusia 24 tahun itu selepas mencatatkan peningkatan mendadak dalam catatan masa peribadinya pada hari terakhir sesi ujian yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang minggu lalu.
Sebagai rekod, pada hari terakhir ujian di Sepang pada Jumaat, Hafizh berjaya mencatatkan masa 2:00.766 saat. Catatan masa tersebut adalah 1.093 saat lebih pantas dari apa yang dicatat oleh Hafizh pada hari sebelumnya.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Hafizh menyifatkan catatan masa yang dilakukannya pada hari terakhir itu tidaklah sepantas dari apa yang dijangkakan.
“Saya masih tidak dapat menyesuaikan pelarasan enjin dengan pemilihan tayar yang terbaik pada hari terakhir. Tetapi apapun, saya kini semakin menghampiri dua pelumba ‘factory’ KTM, lebih rapat berbanding jangkaan semua orang. Perkara ini adalah sangat penting dalam situasi hari ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai keputusan menggunakan jentera KTM setelah bersama Yamaha untuk hampir 20 musim sebelum ini, Hafiz menyifatkannya sebagai sesuatu yang amat berbeza.
“Bukan saja rupa yang berbeza tetapi KTM juga masih baru di dalam saingan kelas premier MotoGP. Saya juga terpaksa mengubah sedikit gaya tunggangan untuk lebih memahami jentera baru ini.
“Jika dibandingkan dengan Yamaha yang mempunyai gaya penunggangan yang lebih lancar, jentera KTM adalah sangat berkuasa jadi kami memerlukan cara tunggangan yang lebih kuat. Kami juga masih dalam proses membangunkan jentera KTM dan cuba untuk melangkah ke hadapan untuk memberikan saingan kepada pasukan-pasukan lain.
Hafizh walaubagaimanapun percaya KTM Tech 3 kini berada di landasan yang tepat dan berjanji akan melakukan yang terbaik di Qatar sebelum bermulanya musim baru nanti.
Pengurus pasukan KTM Tech 3, Herve Poncharral turut senada apabila menyifatkan sesi ujian di Sepang sebagai satu kejayaan buat pasukan mereka.
“Jentera kami mengalami perubahan secara dramatik. Pelumba kami juga mendapatkan lebih keyakinan kali ini di samping memberikan maklumat yang sangat berguna kepada jurutera pasukan.
“Jelas sekali, saya merasakan kedua-dua pelumba,Hafizh dan juga Miguel menikmati sesi ujian kali ini. Walaupun kami semua keletihan, tetapi kami pulang dengan senyuman kerana ianya adalah sesi ujian yang sangat hebat buat pasukan secara keseluruhannya.” – OEH MUHAMMAD AIMAN