Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih menyenaraikan jaguh lompat kijang Asia Tenggara, Muhammad Hakimi Ismail untuk bertanding di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England pada Mac tahun depan sebagai menggantikan Khairul Hafiz Jantan.

Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim bagaimanapun menegaskan penyertaan Hakimi menerusi tiket ‘wildcard’ akan terbatal sekiranya terdapat mana-mana atlet olahraga negara melepasi had kelayakan dan layak secara merit ke kejohanan tersebut.

“Hakimi berada dalam senarai teratas kerana dia memecahkan rekod Sukan SEA dan kebangsaan untuk meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur tempoh hari. Malah dia disenaraikan dalam Program Podium baru-baru ini, jadi ini justifikasi kepada pemilihannya.

“Buat masa sekarang, Hakimi sah bertanding atas tiket wildcard tetapi kalau ada atlet lain yang layak secara merit, dia akan digugurkan,” kata Karim selepas sidang akhbar di Wisma Majlis Olimpik Malaysia pada Rabu.

Untuk rekod, Hakimi mempertahankan pingat emas di temasya Sukan SEA buat kali ketiga berturut-turut Ogos lalu dengan catatan 16.77 meter, memperbaharui rekod miliknya sendiri 16.76 meter yang dilakukan ketika di Singapura 2015.

Sebelum ini, KOM menyenaraikan nama Khairul Hafiz untuk bertanding di kejohanan itu atas tiket ‘wildcard’ namun raja pecut Asia Tenggara itu memilih tidak mengambil bahagian kerana akan bertanding di Kejohanan Pra-Sukan Asia di Jakarta pada Februari.

Justeru, slot kosong itu ditawarkan kepada Hakimi namun hakikatnya peluang untuk atlet kelahiran Perak itu membuat penampilan di kejohanan itu agak tipis memandangkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) hanya mahu mengehadkan 16 peserta sahaja untuk acara lompat kijang.

Apatah lagi had kelayakan ditetapkan IAAF untuk layak automatik ke kejohanan itu adalah 17.05m, satu jarak yang tinggi jika dibandingkan dengan ketetapan buat Sukan Olimpik dan Kejohanan Olahraga Dunia.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -