Bojan.Hodak

Oleh Ku Mohd Lufti

Pasukan yang sedang diambang penyingkiran, Pulau Pinang bakal melakukan rombakan termasuk mendapat pemain import baharu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata persatuan sedang mengintai dua pemain Korea Selatan untuk mengisi tempat sebagai penyerang atau pemain pertahanan tengah.

“Kami akan mengambil seorang sahaja dan kini dalam proses untuk berunding sebelum memuktamadkan perjanjian,” katanya.

Nazir juga mengesahkan bahawa kelab itu sedang dalam proses untuk mengambil Ranti Martins dari Nigeria yang merupakan penjaring terbanyak Kelab Liga India, East Bengal.

Pemain berusia 29 tahun itu beraksi di Liga India sejak 2004 dan telah menjaringkan 214 gol bersama empat kelab berbeza.

Pencapaian itu jelas sekali mampu menambat hati Bojan Hodak yang akan mengemudi pasukan Pulau Pinang selepas aksi tidak menentu dipertengahan musim 2016.

Nazir juga menolak spekulasi bahawa separuh daripada pasukan Pulau Pinang akan dirombak sebelum Liga Super bermulaa dimuktamadkan selepas Hari Raya.

“Kami sedang berusaha mengukuhkan pasukan dan untuk waktu sekarang, kami hanya akan melakukan rombakan kecil dan perubahan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan pasukan,” katanya.

Pulau Pinang akan mengadakan perlawanan persahabatan berdepan Perlis pada Ahad (3 Julai) ini di Stadium Bandaraya, untuk mengukuhkan rentak permainan pasukan itu sebelum bertemu T-Team pada 16 Julai dalam kempen Liga Super.

- Advertisement -