DSC_2763

Football Association of Malaysia (FAM) Logo - 230x250Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini membuat pengumuman untuk mengguna pakai nama ‘Harimau Malaysia’ sebagai nama gelaran rasmi baharu skuad bola sepak kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.

Sebelum ini, umum termasuk pihak media dan para peminat bola sepak telah mengguna pakai nama gelaran Harimau Malaya setiap kali mereka merujuk kepada skuad kebangsaan.

Berdasarkan sejarah, nama gelaran Harimau Malaya itu pada asalnya merujuk kepada penyerang kebangsaan era 1940-an hingga 1950-an, Allahyarham Dollah Don (nama sebenar Abdullah Mohd Don) apabila gelaran tersebut diberikan kepada beliau oleh Presiden Indonesia ketika itu, Sukarno selepas menyaksikan kehebatannya dalam satu perlawanan pada tahun 1953.

Sejak itu gelaran Harimau Malaya terus melekat kepadanya sehingga skuad kebangsaan Malaysia turut digelar sebagai Harimau Malaya selama lebih 50 tahun hingga ke hari ini.

Namun, bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan yang nama gelaran Harimau Malaya itu sudah tidak sesuai memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963 iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.

Lantaran itu, pengenalan nama gelaran rasmi baharu Harimau Malaysia bermula hari ini diharap Presiden FAM, KDYTM Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah dapat memberi gambaran jelas bahawa skuad kebangsaan atau selepas ini dikenali sebagai skuad Harimau Malaysia adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak.

“Bagi melancarkan era baharu bola sepak Malaysia mulai tahun 2016 ini, FAM berasakan nama gelaran Harimau Malaya yang sering kali diguna pakai sebelum ini sudah tidak lagi sesuai.

“Ini memandangkan perkataan Malaya itu sendiri tidak lagi diguna pakai secara menyeluruh di negara ini sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, iaitu kira-kira 53 tahun yang lalu.

“Justeru itu, FAM pada hari ini dengan secara rasmi mengumumkan untuk mengguna pakai nama Harimau Malaysia sebagai nama gelaran baharu untuk skuad kebangsaan.

“Gelaran ini juga bertepatan untuk menggambarkan skuad kebangsaan kita adalah milik seluruh rakyat Malaysia termasuk juga mereka di Sabah dan Sarawak yang mungkin selama ini terasa sedikit tersisih dengan penggunaan gelaran Harimau Malaya.

“Jadi sebab itulah FAM berasakan 2016 adalah tahun sesuai untuk permulaan penggunaan nama gelaran baharu ini bagi menyaksikan skuad Harimau Malaysia kembali bangkit dan menjadi pasukan kompetitif di peringkat antarabangsa” titah Tengku Abdullah pada Majlis Pengenalan Penaja & Pengumuman Nama Gelaran Baharu Skuad Kebangsaan di Hotel The Royal Chulan, di sini, hari ini.

Empat penaja rasmi yang terus memberi sokongan dan komitmen bersama skuad kebangsaan untuk tahun 2016 ini terdiri daripada Telekom Malaysia (TM), Bank Islam, Nike dan 100PLUS.

Telekom Malaysia yang merupakan Rakan Utama (Main Partner) kepada pasukan kebangsaan sejak tahun 2011, telahpun memeterai pebaharuan perjanjian penajaan selama lima tahun lagi sehingga ke tahun 2020.

“Inilah yang dinamakan sokongan padu yang tidak berbelah bagi,” titah Tengku Abdullah.

Tengku Abdullah juga bertitah agar semua yang terlibat dalam bolasepak Negara menerima secara positif perlantikan Datuk Ong Kim Swee dan Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan ketua jurulatih Pasukan kebangsaan bawah 22,  serta memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya agar mereka dapat mencapai kejayaan dalam tugasan masing-masing.

Nama gelaran Harimau Malaya terhadap skuad kebangsaan sebelum ini pada dasarnya adalah merujuk kepada subspecies harimau yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Namun apabila terdapat perkataan Malaya di situ, ia dianggap oleh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak seolah-olah seperti meminggirkan mereka.

Pada 22 Februari 2015, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut pernah menyuarakan saranan supaya nama gelaran Harimau Malaysia diguna pakai untuk merujuk kepada skuad kebangsaan berbanding Harimau Malaya yang seolah-olah seperti penyokong dari Sabah dan Sarawak tidak terlibat langsung.

Bagi memberikan imej serta wajah baharu kepada skuad kebangsaan mulai tahun 2016 ini, FAM turut melancarkan peraduan mencipta logo Harimau Malaysia, hari ini yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Peraduan ini memeberi peluang untuk anak Malaysia sendiri mencipta imej baharu pasukan kebangsaan dan juga berpeluang memenagani hadiah wang tunai RM 10,000 serta pengalaman bersama skuad kebangsaan pada kejohanan AFF Suzuki pada akhir tahun ini.

Tiga logo terpilih akan disenarai pendek untuk para peminat dan penyokong bola sepak negara melakukan undian secara online di laman sesawang rasmi www.fam.org.my bagi memilih logo terbaik untuk dijadikan logo rasmi bagi Harimau Malaysia.

- Advertisement -