Oleh Muhammad Aiman
Jaringan hatrik penyerang import, Patrick Ronaldinho Wleh membantu PKNS FC membenam Selangor 5-3 di Stadium Shah Alam sekaligus melakar kemenangan pertama dalam aksi Liga Super musim ini.
PKNS bimbingan E.Elavarasan yang tewas dua perlawanan pertama bagaimanapun bermula dengan goyah apabila ketinggalan seawal minit pertama kepada jaringan Muhammad Syahmi Safari.
Mereka bangkit memperkemas permainan dan hasilnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 setelah percubaan Ronaldinho gagal diselamatkan Norazlan Razali.
Lima minit berselang, giliran PKNS pula berada di depan menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Safee Sali namun kelebihan itu hanya bertahan tiga minit apabila Francis Forkey Doe meledak untuk menjadikan kedudukan 2-2.
Ronaldinho memastikan sang semut merah membawa kelebihan satu gol menuju ke bilik persalinan menerusi satu lagi penyudah berbisa pada minit ke-42, meletakkan PKNS mendahului 3-2.
Matias Hadwa mengukuhkan kedudukan 4-2 buat PKNS hanya dua minit selepas permainan bersambung namun jaringan kedua peribadi Forkey Doe pada minit ke-55 menyaksikan Red Giants terus kekal dalam saingan.
Ronaldinho kemudiannya memastikan aksi berbalas jaringan semakin rancak dengan gol kelima pada minit ke-59 dan meskipun Selangor beraksi dengan 10 pemain untuk 20 minit terakhir setelah Raimi Md Noor diperintah keluar padang, kedudukan kekal 5-3 sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Satu kemenangan penting buat kita, pemain menunjukkan motivasi yang hebat untuk bangkit selepas ketinggalan seawal minit pertama. Keseluruhannya ia satu perlawanan yang begitu mencabar mentaliti pemain, dan mereka menunjukkan kematangan dalam permainan untuk memastikan tiga mata pertama ini.
“Kita masih rapuh di beberapa aspek terutamanya barisan pertahanan, kita bolos enam gol dalam dua perlawanan. Ini adalah masalah sama kita hadapi sejak musim lalu dan saya akan mengikhtiarkan sesuatu untuk memperbaikinya dalam perlawanan akan datang,” ujar Elavarasan selepas tamat perlawanan.