PENGANJUR jelajah berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi 2020, Human Voyage mengesahkan pembayaran wang kemenangan kepada pemenang pemenang melibatkan pelumba dan pasukan telah pun diselesaikan.

Wang kemenangan keseluruhan RM823,450 telah dibayar kepada pasukan dan pelumba yang terlibat pada edisi tahun ini.

“Transaksi pembayaran kepada pasukan dan pelumba telahpun dibuat dan selesai pada awal bulan ini,”Jelas Ketua Pegawai Operasi LTdL, Shahaizereen A Hamid.

Proses pembayaran dibuat melalui Cycling Prize Management System (UCPMS) Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Pembayaran akhir sepatutnya dilakukan menerusi system UCI tersebut dalam tempoh 90 hari selepas tamat perlumbaan namun tertunda susulan pandemic Covid 19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia.

Tambah Shahaizereen, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta badan induk berbasikal Malaysia, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) telahpun dimaklumkan berhubung pembayaran yang telah dilakukan.

“Isu kelewatan pembayaran disebabkan kekangan yang terpaksa dihadapi ketika PKP telahpun diselesaikan selepas perjumpaan dengan Menteri Belia dan Sukan Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican baru baru ini.

“Bagi pihak penganjur, saya mengucapkan terima kasih terutama kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal di atas keprihatinan yang diberikan sekaligus membantu kami menyelesaikan isu ini.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang memahami, bersabar dan memberikan kerjasama yang baik berhubung perkara ini,”kata Shahaizereen lagi

Beliau juga memaklumkan Human Voyage bersedia untuk menganjurkan perlumbaan edisi ke 26 meskipun terdapat ketidakpastian susulan Covid 19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh kerajaan bagi acara sukan antarabangsa.

“Walaupun keadaan semasa yang tidak menentu ketika ini, kami tetap komited untuk menganjurkan perlumbaan pada 2021 tetapi semuanya bergantung pada arahan kerajaan dan SOP,” katanya lagi.

Perlumbaan edisi ke-25 tahun ini adalah berstatus Pro Series dibawah peraturan baru oleh UCI.

- Advertisement -