Oleh Muhammad Aiman
Selepas lima bulan tersisih gara-gara kecederaan belakang, pemain perseorangan lelaki negara Iskandar Zulkarnain Zainudin bakal membuat penampilan semula setelah namanya disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman yang akan berlangsung di Gold Coast, Australia bulan depan. 
Pemain nombor dua negara itu sebelum ini dijangka hanya akan kembali beraksi pada Jun di Terbuka Thailand namun Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan Iskandar sudah pulih sepenuhnya dari kecederaan yang dialami.
“Dia sepatutnya beraksi di Terbuka Thailand pada Jun (sebagai kejohanan pertama selepas pulih) tetapi selepas berbincang dengan jurulatih kami rasa dia sudah bersedia.
“Lagipun, Piala Sudirman (21-28 Mei) dan Terbuka Thailand (30 Mei – 4 Jun) tarikhnya tidak jauh. Jadi ini boleh dianggap sebagai persiapan untuknya menghadapi Terbuka Thailand. Jika dia bersedia untuk hadapi Terbuka Thailand, kenapa tidak untuk Piala Sudirman,” kata Norza. 
Norza bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat CTC terakhir bagi penggal 2013/2017 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Jumaat. 
Tatkala perseorangan lelaki mendapat suntikan dengan kehadiran semula Iskandar, lain pula ceritanya bagi acara beregu campuran apabila Malaysia bertandang ke Australia tanpa kelibat Goh Liu Ying. 
Ini bakal menyaksikan pasangannya Chan Peng Soon bakal digandingkan dengan Cheah Yee See.
Pemain lain yang memperkuatkan skuad Piala Sudirman adalah Datuk Lee Chong Wei (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin (beregu lelaki), Goh Jin Wei, Sonia Cheah (perseorangan wanita), Chan Peng Soon, Tan Kian Meng (beregu campuran) serta Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita).
- Advertisement -