Goh V Shem.Tan Wee Kiong

Oleh Muhammad Aiman

Cabaran Malaysia di Kejohanan Badminton Terbuka Korea kini hanya digalas pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying setelah pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain tersingkir di pusingan kedua pada Khamis. 

Ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu Iskandar gagal melepasi halangan pusingan awal – Khamis lalu dia tewas di pusingan pertama Terbuka Jepun kepada H.S Pranoy dari India dan kali ini, pemain berusia 26 tahun itu tewas kepada pemain China, Qiao Bin 21-13, 21-19 dalam masa 52 minit.

Dalam pada itu, V Shem dan Wee Kiong tidak membenarkan kejutan disingkirkan pasangan bukan pilihan di Terbuka Jepun berulang di Seoul, apabila mara ke suku akhir setelah menewaskan gandingan England, Peter Briggs-Tom Wolfenden 21-17, 21-16 dalam masa 31 minit.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 itu mengakui tidak beraksi baik ketika di Tokyo dan bertekad tampil lebih kompeten untuk memburu kejuaraan SuperSeries pertama dalam karier mereka seterusnya mencapai sasaran berada di kelompok lima terbaik dunia menjelang hujung tahun ini.    

Manakala Peng Soon dan Liu Ying yang merupakan pilihan ketiga kejohanan pula meneruskan langkahan setelah mengetepikan beregu tuan rumah, Kim Duk Young-Kim Hye Rin juga dalam aksi straight set 21-17, 21-16 sekaligus berada di landasan untuk mara ke separuh akhir kesembilan mereka untuk musim ini.  

Satu lagi pasangan beregu lelaki, Hoon Thien How-Teo Kok Siang tersingkir setelah tewas kepada beregu China, Huang Kaixiang-Wang Yilyu 21-17, 13-21, 9-21 manakala cabaran beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula berakhir seawal pusingan pertama pada Rabu.    

Dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung Jumaat, V Shem-Wee Kiong yang merupakan pilihan kelima akan berdepan pilihan kedua dari China, Chai Biao-Hong Wei manakala Peng Soon-Liu Ying pula menentang pasangan bukan pilihan dari Denmark, Anders Skaarup Rasmussen-Sara Thygesen.

- Advertisement -