chong.wei

Oleh Ku Mohd Lufti

Pusingan pertama kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Jepun memulakan saingannya menyaksikan empat wakil negara mara ke pusingan kedua.

Mengetuai cabaran Malaysia adalah pasangan bergu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menundukkan pasangan England, Matthew Nottingham-Emily Westwood.

Peng Soon dan Liu Ying yang diletak selaku pilihan kelima memerlukan 31 minit untuk menang straight set 21-13, 21-15 , sekaligus bakal bertemu gandingan Belanda Jacco Arends-Selena Piek.

Dalam aksi bergu lelaki pula, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil Thailand, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet juga dengan kemenangan straight set 21-12, 21-7 dalam masa 24 minit.

V. Shem dan Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio akan berdepan gandingan China, Huang Kaixiang-Wang Yilyu.

Turut mengikuti jejak bergu campuran dan lelaki negara adalah bergu wanita, Vivian Hoo Kah Mun – Woon Khe Wei.

Tiada masalah buat Vivian dan Khe Wei untuk mengecewakan pasangan tuan rumah, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara straight set 21-19, 21-12.

Bergu wanita negara akan berdepan satu lagi pasangan tuan rumah, Miki Kashihara-Miyuki Kato yang mendapat kemenangan mudah selepas gandingan dari China, Chen Qincheng-Tang Yuanting menarik diri.

Dalam pada itu, jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan saingan Siri Super dengan langkah kanan apabila mudah menundukkan Boonsak Ponsana dari Thailand, 21-14, 21-13.

Pemain ranking pertama dunia itu dijangka bertemu Qiao Bin dari China di pusingan kedua untuk mencari tiket ke suku akhir.

Namun, jejak Chong Wei gagal diekori serang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, apabila terpaksa tunduk kepada pemain India, H.S. Prannoy dalam pertarungan lebih sejam.

Iskandar yang tewas pada set pertama 21-23, bangkit memenangi set kedua dengan 21-19, namun pemain berusia 25 tahun itu gagal bertahan, sekali gus akur dengan kekalahan 18-21 kepada pemain ranking ke-29 dunia itu.

- Advertisement -