Perjuangan kem Malaysia berakhir sehingga peringkat kumpulan D apabila gagal menempatkan diri di dua kedudukan teratas untuk ke suku akhir.

Aksi terakhir peringkat kumpulan D pagi tadi, Malaysia melakar kemenangan 100 peratus menundukkan Perancis 5-0 di Impact Arena, Bangkok.

Tey Seu Bock melakukan perubahan merehatkan Sonia Cheah dan meletakkan Goh Jin Wei untuk mengetuai cabaran Malaysia.

Jin Wei yang melakar kejutan, menewaskan He Bingjiao semalam ternyata tidak mengecewakanketika berdepan Yaelle Hoyaux.

Tidak banyak tentangan yang diberikan lawannya apabila menang 21-7 di set pertama. Malah beliau tampak mengganas apabila tidak memberi ruang kepada Yaelle untuk meraih mata apabila menutup set kedua dengan   kemenangan straight  21-0.

Mengekori jejak Jin Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menundukkan Emilie Lefel-Anne Tran 21-14, 21-17 dalam masa 32 minit.

Lee Ying Ying menghadiahkan mata ketiga untuk Malaysia selepas bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menang 15-21, 21-16, 21-11 ke atas Marie Batomene.

Percaturan Seu Bock menurunkan gandingan, Vivian Hoo Kah Mun-Tee Jing Yee juga tidak mengecewakan apabila berjaya menundukkan Delphine Delrue-Lea Palermo.

Namun, Vivian dan Jing Yee tidak diberi laluan mudah sebelum menang 21-13, 15-21,28-26 untuk mata keempat Malaysia.

Melengkapkan kemenangan Malaysia dalam aksi terakhir kumpulan D, S Kisona yang menundukkan Katia Normand 17-21, 21-14, 21-9.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia hanya menang satu dan tewas dua kali sekaligus menduduki tangga ketiga kumpulan D.

China muncul juara kumpulan selepas merekodkan kemenangan dalam semua perlawanan termasuk menang 3-2 ke atas Indonesia untuk layak ke suku akhir sambil diiringi Indonesia yang muncul naib juara. KU MOHD LUFTI

- Advertisement -