goh.jin.wei

Oleh Muhammad Aiman

Pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Tee Jing Yi tidak bercadang merubah cara permainannya meskipun masalah kecederaan berulang sering kali membelenggu prestasinya sepanjang tahun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan buku lali pada Mei lalu sehingga hampir menyebabkannya gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro pada Ogos, sebelum dia disahkan cergas pada saat akhir penyertaan ditutup.

Kemudian di olimpik, Jing Yi mengalami ketegangan urat betis ketika menentang Akane Yamaguhi dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, yang mana dia sedang mendahului 17-14 di set pertama namun akhirnya akur dengan kekalahan 21-18, 21-5.

“Saya sudah kembali kepada kecergasan penuh, dan saya akan terus berikan yang terbaik dengan mengerah sepenuh kudrat saya pada setiap perlawanan. Mustahil untuk kita memberi tumpuan pada permainan atau berikan prestasi terbaik jika terlalu berhati-hati atau bimbang mengalami kecederaan apabila beraksi.

“Teruskan permainan seperti biasa, itu yang saya perlu lakukan. Saya sasarkan untuk pecah masuk ke kelompok 20 pemain terbaik dunia menjelang hujung tahun ini, jadi saya perlu untuk bekerja keras dan tidak terlalu memikirkan mengenai perkara yang boleh jejaskan fokus,” kata pemain di ranking ke-28 dunia itu.

Jing Yi membuktikan apa yang dilaungkannya itu bukan sekadar omong kosong apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand pada Khamis, setelah bangkit menewaskan wakil tuan rumah Pornpawee Chochuwong 10-21, 22-20 dan 21-15 dalam aksi pusingan kedua.

Pemain pilihan keenam itu sebelum ini memulakan kejohanan dengan menyingkirkan pemain Indonesia, Rusydina Antardayu di pusingan pertama 22-20, 21-8, aksi pertamanya sejak kembali dari kecederaan yang dialami di Rio.

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut melangkah ke suku akhir setelah mengejutkan pilihan kedua Porntip Buranaprasertsuk 21-16, 16-21, 21-17 dalam masa 55 minit.

Selain itu, mereka akan turut disertai pasangan beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, beregu lelaki Lim Khim Wah-Ong Jian Guo dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Kian Meng-Pei Jing yang merupakan pilihan ketiga mara setelah menundukkan pasangan Indonesia, Ricky Widianto-Gloria Emanuelle Widjaja 21-19, 21-18 sementara Khim Wah-Jian Guo melangkah setelah menundukkan Hendra Gunawan-Markis Kido juga dari Indonesia 21-17, 21-17.

Thien How-Kok Siang pula menyingkirkan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 23-21, 17-21, 21-10 manakala Mei Kuan-Meng Yean mara dengan menyingkirkan Ririn Amelia-Anna Ching 21-12, 21-16.

- Advertisement -