Satu kemenangan dan satu kekalahan kepada skuad bawah 23 tahun China memberikan gambaran yang jelas buat Juan Torres Garrido terhadap barisan pemain pemain yang dibawa dalam sesi pertamanya sebagai pengendali skuad B23 negara.
Pengendali kelahiran Sepanyol ini memiliki data yang diperlukan untuk menilai kekuatan pemain pemain yang dipanggil sebelum senarai akhir diputuskan untuk dibawa ke Piala Asia B23 nanti.
“Kita akan nilai pada panggilan seterusnya. Kami ada maklumat yang baik melibatkan pemain pemain dan berpuas hati dengan sikap dan prestasi ketika latihan.
“Hanya yang terbaik sahaja akan dipanggil. Kita akan tunnggu pada sesi seterusnya beberapa bulan lagi dan lihat siapa yang akan diturunkan,”kata Torres.
Tambahnya lagi, sesi latihan dan perlawanan persahabatan adalah penting untuknya sebelum senarai akhir dimuktamadkan. Merujuk kepada dua perlawanan persahabatan China B23, Juan Torres melihat ia merupakan pengalaman yang baik.
“Secara keseluruhan, ia adalah pengalaman yang baik dan lawan (China B23) yang hebat. Kami berdepan pelbagai situasi.
“Perlawanan pertama mereka bermain dengan baik. Perlawanan kedua kami menggunakan pendekatan yang berbeza dan selepas kehilangan seorang pemain, yang lain tetap memberikan yang terbaik dan kami jadikan ia sebagai salah satu daripada pengalaman untuk dibawa ke Piala Asia nanti,” katanya lagi.