kedah-mas-cup-champ

Oleh Muhammad Aiman

“Ini adalah pasukan terkuat pernah Kedah himpunkan selepas beberapa tahun, dan skuad terbaik pernah saya kendalikan,” demikian reaksi ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe susulan kejayaan pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama selepas lapan tahun pada Ahad lalu.

Kedah menjulang trofi berprestij tanah air itu dengan menewaskan juara bertahan, Selangor 6-5 menerusi sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 tamat 120 minit permainan termasuk masa tambahan, dan Cheng Hoe berpendapat kejayaan ini hanyalah permulaan.

“Pemain-pemain telah bekerja keras sepanjang musim ini, kami semua bagaikan satu keluarga dan disiplin tinggi mereka adalah kunci kemenangan kita kali ini.

“Melihat kepada kekuatan, kualiti dan bakat-bakat muda yang sedah meningkat naik saya percaya mereka boleh lebih menyerlah selepas ini dan lebih banyak kejayaan akan menyusul,” ujar Cheng Hoe yang membimbing Kedah bermula pertengahan 2014 menggantikan David Mitchell.

Kata-kata Cheng Hoe ada asasnya kerana dalam senarai 18 pemain ketika aksi final baru-baru ini, Lang Merah ada seramai lapan pemain berusia bawah 23 tahun yang masih panjang perjalanan karier mereka dan berpotensi menjadi tulang belakang kejayaan pasukan bagi beberapa tahun mendatang.

Tiga daripadanya diturunkan dalam kesebelasan utama iaitu penjaga gol Ifwat Akmal (20), pemain pertahanan Syawal Nordin (22) dan pemain tengah Amirul Hisyam Awang Kechik (20 tahun) manakala Farhan Roslan (19) masuk pada masa tambahan.

Empat pemain yang lain adalah Abdul Halim Saari (21), Shafiq Ahmad (20), Haniff Mat Dzahir (22) dan Asri Mardzuki (22).

Ironinya, ketika Kedah melakar sejarah bolasepak tanah air dengan muncul juara ‘double-treble’ pada 2007 dan 2008 di bawah bimbingan Azraai Khor Abdullah, kejayaan mereka turut dipacu tenaga pemain muda seperti Baddrol Bakhtiar, Khyril Muhaimeen, Bunyamin Omar, Fazliata Taib, Fadly Baharom, Sabre Mat Abu dan Shafiq Jamal.

Kedah bagaimanapun bergelut memenangi sebarang kejuaraan beberapa tahun selepas itu dan melalui zaman gelap bolasepak mereka apabila tersingkir ke Liga Premier pada 2012, dan kembali beraksi di Liga Super tahun ini setelah menjuarai Liga Premier 2015.

Dengan Piala Malaysia sudah berjaya dirampas, sasaran seterusnya Cheng Hoe sudah tentunya mahu mengembalikan era gemilang bolasepak Kedah dengan membawa pasukan itu mencabar secara serius gelaran Liga Super dan Piala FA musim depan, yang menawarkan tiket beraksi di Piala AFC.  

- Advertisement -