NS.melaka.gaduh

Oleh Ku Mohd Lufti

Pasukan Liga Super Perak sah bakal kehilangan khidmat ketua jurulatihnya Syamsol Saad selepas didapati bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia FAM.

Pengendali berusia 41 tahun itu digantung 4 perlawanan, selepas didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan semasa perlawanan Liga Super di antara Johor Darul Ta’zim dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 5 April lalu.

Badan induk itu memaklumkan Syamsol didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51.1 (a) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan salah laku terhadap pegawai perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan perintah keluar padang.

Penggantungan telahpun berkuat kuasa pada 9 April lalu ketika perak tewas 3-4 kepada Pahang FC di Stadium Perak, Ipoh.

Baki 3 penggantungan adalah melibatkan pertemuan di antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Perak di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 4 Mei, perlawanan Sarawak menentang Perak di Stadium Negeri, Kuching pada 18 Mei dan pertemuan di antara Perak dan Sarawak di Stadium Perak, Ipoh, selang tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerima padah susulan tindakan liar penyokong masing-masing dalam aksi Liga Malaysia.

Persatuan Bolasepak Melaka didenda sebanyak RM15,000 susulan tindakan penyokong mereka yang melontar botol air minuman dan memanjat pagar untuk menyertai pergeseran dengan penyokong Negeri Sembilan semasa aksi Liga Perdana membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 1 Mac lalu manakala PBNS pula didenda sebanyak RM5,000 susulan tindakan penyokong mereka melontar botol air minuman ke arah penyokong pasukan Melaka pada perlawanan yang sama.

FAM mengenakan denda sebanyak RM10,000 kepada KFA susulan tindakan penyokong mereka yang membakar suar selepas aksi suku akhir kedua Piala FA di antara Kedah dan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 1 April lalu.

Badan induk itu menegaskan ketiga-tiga persatuan berkenaan serta Syamsol diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

- Advertisement -