putrajaya.rugby

Oleh Muhammad Aiman

Kejohanan Ragbi Liga Putrajaya 2016 melabuhkan tirainya pada Ahad, dengan Kelab Ragbi Kajang Rams (KRRC) muncul juara setelah menewaskan Kelab Ragbi MIAT Falcons (MFRC) dengan keputusan 23-19 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Perbadanan Putrajaya di Alamanda.  

Kajang Rams nyata terlalu gah untuk disaingi apabila mendahului 11-0 di separuh masa pertama setelah menyempurnakan dua penalti pada minit ke-11 dan 17, diikuti try pada minit ke-20.

Mereka terus unggul mendominasi perlawanan apabila melakukan satu lagi try pada minit ke-45 untuk mendahului 16-0.

Namun MIAT Falcons menterjemahkan kebangkitan menakjubkan dalam tempoh 12 minit di separuh masa kedua apabila mengutip 19 mata berturut-turut menerusi tiga try dan dua conversion sekaligus mendahului perlawanan 19-16.

Kajang Rams bagaimanapun memastikan kejuaraan milik mereka setelah mengutip tujuh mata menerusi try dan conversion yang disempurnakan pada minit akhir perlawanan.

Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik pasukan QUBYX-Lion yang menewaskan Bangi Hunters 30-10 dalam final ‘Plate’, manakala tempat kelima pula dimenangi Kelab Ragbi ASAS yang menewaskan Kelab Ragbi SAAS 46-29 dalam final ‘Bowl’.  

Untuk rekod, kejohanan ini merupakan kejohanan tahunan anjuran Persatuan Ragbi Putrajaya (PRP), membabitkan penyertaan dari 8 pasukan yang merupakan ahli gabungan PRP iaitu Kajang Rams, ASAS, Bangi Hunters, MIAT Falcons, QUBYX-Lion, GMI Knight, SAAS RC dan MMU-OLIE Tiger.

- Advertisement -