“Saya perlu menang atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di atas podium minggu ini,” jelas Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor; Kasma Daniel Kasmayudin.

Kasma Daniel Kasmayudin yang baru pulang dari Sepanyol kini kembali fokus untuk mempertahankan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan kategori CP150 menjelang perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Bandar Baru Kijal, Kemaman, Terengganu, 5 dan 6 Mei ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang baru tiba di tanah air minggu ini setelah hampir sebulan berada di Sepanyol bagi menjalani latihan dan perlumbaan pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia CEV di Albacete akui fizikalnya agak penat namun perlumbaan CP150 di Kemaman sangat penting memandangkan dia bakal terlepas aksi pusingan keempat di Teluk Intan, Perak pada 20 – 21 Mei ini yang berlangsung serentak dengan perlumbaan CEV di Le Mans.

“Saya perlu menang atau sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di atas podium minggu ini,” jelas Kasma yang berada di tangga teratas dengan 50 mata, 21 mata mengatasi Md Adib Rosley (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang berada di tangga kedua dengan 29 mata.

Tambah Kasma, “Beraksi di pentas antarabangsa tidak bermaksud saya mengetepikan perlumbaan CP150. Saya tekad untuk bergelar juara CP150 pertama dan juga membawa gelaran untuk pasukan, cuma tugas saya agak sukar memandangkan mungkin akan terlepas beberapa siri Kejuaraan Cub Prix. Sebab itu saya perlu mengutip mata maksimum dalam setiap perlumbaan.”

Mengulas tentang persediaan setelah menempuh perjalanan panjang untuk kembali ke tanah air, Kasma berkata, “Ketika ini fizikal dan mental saya agak penat. Saya baru tiba di Malaysia minggu ini dan kemudian terus beraksi di Kemaman. Pada masa sama jadual latihan saya di Sepanyol juga agak padat. Cuma mungkin dari sudut positif, latihan dan pengalaman sewaktu pusingan pertama di CEV juga memberi kelebihan kerana fizikal dan stamina saya semakin bagus selain banyak menggunakan jentera yang lebih laju dan berat berbanding jentera CP150.

“Namun saya tidak boleh memandang rendah perlumbaan minggu ini. Selain keadaan litar yang mempunyai beberapa selekoh dan laluan sempit yang menyukarkan untuk memintas atau menjarakkan diri, saya yakin keupayaan jentera pasukan lain semakin meningkat. Kelemahan sepanjang dua pusingan lepas pasti telah diatasi, tetapi sudah tentu pasukan saya juga melakukan persediaan secukupnya untuk memastikan kami terus di hadapan.”

- Advertisement -