Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berpuas hati dengan pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) semua pasukan Liga Malaysia yang sudah memulakan latihan Fasa 1 sejak 15 Jun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan laporan daripada cawangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di peringkat negeri dan daerah, semua pasukan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap segala SOP ditetapkan.

Justeru berdasarkan kerjasama baik ditunjukkan semua pasukan setakat ini, beliau yakin peluang untuk melihat latihan fasa dua atau secara penuh dilihat begitu tinggi namun semuanya bergantung kepada hasil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada hari esok (Khamis).

“Setakat ini semuanya baik dan memuaskan pematuhan pasukan ikuti SOP kerana berdasarkan laporan daripada Jabatan KBS di peringkat negeri termasuk daerah, semuanya menunjukkan pematuhan yang tinggi.

“ Cuma saya rasa sudah sampai satu tahap, kebanyakan pasukan sudah bosan dan secara mental, mereka tercabar untuk terus jalani latihan secara non kontak dan mereka mahu lebih daripada itu.

 

foto – Peraktbgmy

“ Pemain mahu mencapai lebih optima dalam latihan dan sebab itu saya hendak cakap di sini iaitu pada Khamis (esok), saya akan bawa perkara-perkara ini ke mesyuarat menteri-menteri mengenai pelaksaan PKP agar permohonan latihan secara kontak dibenarkan.

“ Perkara ini juga meliputi daripada sudut perlawanan melibatkan di peringkat awam dengan SOP-SOP tertentu dibenarkan sekali gus membuka ruang kepada kejohanan dapat dimulakan dengan tanpa penonton tidak lama lagi kerana semua tahu bola sepak adalah sukan yang paling ramai ditonton oleh rakyat di negara ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau latihan persiapan skuad Bawah 19 tahun negara (B-19) bagi menghadapi pusingan akhir Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 14 hingga 31 Oktober depan di Tashkent, Uzbekistan bersama Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, memberi sokongan terhadap cadangan KBS itu yang disifatkan sebagai satu langkah tepat untuk mengembalikan ekonomi serta keharmonian sukan negara yang sedang berdepan krisis ekoran impak pandemik COVID-19 sejak awal Mac lalu.

Malah beliau percaya perkara ini menjadi satu isyarat baik di mana kementerian sukan negara sentiasa mengambil cakna terhadap situasi yang dialami industri sukan tanah air.

Beberapa pasukan seperti Melaka, Sabah dan Felda United turut mengharapkan cadangan itu dapat diluluskan bagi memudahkan setiap jurulatih melakukan perancangan taktikal sekiranya latihan secara penuh mendapat lampu hijau.

Dalam pada itu, Reezal meminta semua pihak agar bersabar dalam usaha membenarkan penonton kembali hadir ke stadium kerana perkara itu masih memerlukan masa untuk dinilai serta berperingkat-peringkat.

“ Biar kita pergi daripada satu ke satu perkara dahulu malah jika kita lihat negara-negara lain pun seperti EPL dan Bundesliga, perlawanan semua masih belum diadakan tanpa penonton.

“ Kita jangan mulakan satu perkara yang satu dunia mulakan, jadi apa kita lalui sahaja cara ini dahulu sebelum langkah seterusnya, ” katanya.

- Advertisement -