Persatuan Bolasepak Kedah, Persatuan Bolasepak Kelantan dan Persatuan Bolasepak Melaka United berjaya mendapatkan lesen kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi pada saingan Liga Super 2018.

Permohonan tiga persatuan itu yang sebelum ini ditolak kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan akhirnya telah diluluskan oleh Badan Rayuan (AB) Pelesenan Kelab FAM pada mesyuarat yang diadakan Jumaat lalu oleh ahli-ahli jawatankuasa badan bebas.

FAM dalam satu kenyataan pada Khamis bagaimanapun menjelaskan lesen yang diberikan kepada tiga persatuan ini hanya merupakan lesen dari badan induk itu dan tidak membabitkan lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kenyataan itu turut menyebut bahawa Kelab Bolasepak Felda United dan Persatuan Bolasepak Sarawak tidak diberi lesen selepas didapati masih gagal memenuhi salah satu daripada enam kriteria yang ditetapkan iaitu kewangan, meskipun telah diberikan tempoh lanjutan.

Kelulusan diperoleh tiga persatuan itu menjadikan kesemuanya 10 persatuan setakat ini telah berjaya mendapatkan lesen FAM setelah tujuh pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Perak, PKNS FC, Pulau Pinang, Selangor danĀ  T-Team FC diluluskan permohonan mereka bulan lalu.

Daripada tujuh pasukan yang telah mendapat lesen dari First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM itu, empat daripadanya iaitu JDT, Pahang, PKNS FC dan Selangor turut lulus dalam permohonan mendapatkan lesen kelab AFC bagi membolehkan mereka beraksi pada Liga Juara-Juara Asia 2018 atau Piala AFC 2018, jika layak.

Kelulusan berkenaan diputuskan pada mesyuarat FIB yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif pada 24 Ogos 2017.

Sebagai makluman, bagi membolehkan sesebuah pasukan itu diberikan lesen kelab, mereka perlu melepasi penilaian yang dibuat ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017.

Lesen FAM & AFC yang dikeluarkan ini adalah sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2018 dan sepanjang musim berkenaan, jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel-artikel yang terdapat dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2017 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kelab mereka boleh ditarik balik.OLEH MUHD AIMANĀ 

- Advertisement -