Carlos Kahe

Oleh Muhammad Aiman

Berita yang tersebar meluas di rangkaian media sosial dan juga arus perdana mengatakan Kedah telah berjaya memancing bintang Portugal dan juga bekas pemain Barcelona, Ricardo Quaresma tidak lebih dari sekadar satu khabar angin tidak berasas.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menafikan mereka ada membincangkan mahupun berurusan dengan pemain yang dilaporkan bernilai RM1.9 juta itu dan berharap penjelasan ini dapat menutup segala spekulasi kehadiran pemain berusia 32 tahun itu ke Darul Aman.   

Nama Quaresma mula menjadi sebutan di kalangan penyokong bolasepak Kedah khususnya setelah sebuah portal (bukan Sports247) melaporkan Lang Merah telah memuktamadkan pembelian pemain yang kini beraksi bersama Besiktas itu, sebagai pengganti penyerang import Carlos Kahe yang kurang menyerlah musim ini.

Selain Barcelona, Quaresma yang pernah menjulang Kejuaraan Eropah B-17 bersama Portugal pada 2000 turut pernah bermain untuk Sporting Lisbon, Porto, Inter Milan dan Chelsea.

Sementara itu, mengenai kedudukan Kahe, Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak menolak kemungkinan akan menggugurkan pemain dari Brazil itu sekiranya tidak menunjukkan peningkatan sepertimana dikehendaki sebelum pintu perpindahan kedua dibuka pada Jun.

“Kita ambil import atas tujuan untuk membantu meningkatkan prestasi Kedah dalam setiap perlawanan dan boleh beri cabaran kepada lawan, tapi kalau ia tidak membantu kita perlu buat perubahan. Kalau perlu, kita akan lakukan demi memastikan prestasi Kedah sentiasa cemerlang,” kata Ahmad Bashah.  

Setelah hampir separuh musim berlalu, Kahe yang dibawa masuk menggantikan Chidi Edeh hanya menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Super dan tidak ramai penyokong Kedah yang meletakkan harapan untuk melihat pemain itu kekal sehingga ke akhir musim.

- Advertisement -