Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan saingan Kejohanan Remaja Dunia 2020 dibatalkan.

Ia susulan keadaan tidak menentu pandemik Covid 19 menyaksikan BWF dan tuan rumah, New Zealand memutuskan untuk membatalkan kejohanan itu.

Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund menerusi kenyataan media organisasi itu berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan untuk membatalkan kejohanan itu yang melibatkan kategori remaja kerana sekatan kemasukan negara negara dan kerumitan berkaitan Covid 19 menyukarkan proses perancangan untuk menganjurkan kejohanan itu yang sepatutnya dilangsungkan pada Januari 2021.

BWF juga bersetuju untuk menjadikan New Zealand sebagai tuan rumah Kejohanan Remaja Dunia bagi tahun 2024 selepas bersetuju dengan cadangan negara itu sebagai menggantikan edisi 2020 yang dibatalkan.

Tuan rumah bagi 2021 hingga 2023 telah pun diputuskan oleh Jawatankuada BWF pada 2018.

BWF juga berterima kasih kepada Persatuan Badminton New Zealand, penganjur dan rakan penaja ATEED serta kerajaan negara itu diatas keterujaan dan komitmen untuk menganjurkan Kejohanan Remaja Dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Badminton New Zealand, Joe Hitchcock berkata meskipun kecewa dengan pembatalan kejohanan ini, ia merupakan keputusan yang betul memandangkan situasi semasa yang tidak menentu.

Namun, diberi peluang untuk menjadi tuan rumah pada 2024 adalah sesuatu yang membanggakan dan pihaknya akan bersedia untuk menjadi penganjur yang terbaik buat jaguh remaja dari serata dunia.

 

- Advertisement -