Penjaga gol Penang FC, Samuel Somerville menganggap Johor Darul Taā€™zim (JDT) sebagai pasukan yang mampu menghukum lawan pada minit-minit akhir sekiranya mereka leka dalam tempoh 90 minit permainan menjelang aksi Liga Super, malam ini.

Ini merupakan pertemuan kedua Penang FC dan JDT selepas pertembungan pertama mereka pada aksi kedua Liga Super, Mac lalu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora itu menang dengan keputusan 2-0.

Bahkan, dua gol yang dilakukan JDT itu adalah pada minit-minit terakhir perlawanan sekali gus meranapkan harapan mereka untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Justeru, penjaga gol berusia 25 tahun itu yang baru sahaja pulih daripada kecederaan berharap kesilapan sama tidak berulang dan rakan sepasukan yang akan berentap pada malam esok dapat kekal fokus sehingga wisel penamat.

ā€œSaya rasa sangat penting untuk kita kekal fokus sehingga tamat perlawanan kerana kita sudah lihat banyak perlawanan, bukan Penang sahaja tetapi pasukan lain juga apabila berdepan JDT, mereka mudah untuk menghukum kita pada minit-minit akhir.

ā€œWalaupun seminit, kita tidak boleh hilang fokus kerana kita tahu, menentang JDT tidak pernah mudah, tetapi saya percaya dengan penyokong-penyokong yang akan hadir ke Stadium Bandaraya esok akan menyuntik lagi semangat pasukan.

ā€œSekarang Penang di tangga keempat liga, dan kita sangat berharap prestasi konsisten ini akan berterusan untuk sekurang-kurangnya terus kekal di kedudukan empat terbaikā€, jelasnya.

Somerville telah diberi kepercayaan untuk beraksi selama 90 minit ketika pertembungan pertama bertemu JDT sebelum dia mengalami kecederaan jari kaki sewaktu berdepan Melaka United, April lalu.

Namun, dia sudah pun kembali berlatih bersama pasukan semalam selepas sebulan menjalani proses pemulihan dan masih belum pasti akan diturunkan atau tidak dalam pertembungan itu nanti.

ā€œJari kaki saya mengalami sedikit patah dan sebenarnya memang agak kecewa kerana sudah sebulan terlepas beberapa perlawanan, tetapi inilah bola sepak dan saya perlu segera sembuh untuk kembali beraksi.

ā€œSaya berusaha keras untuk menjaga tahap kecergasan saya sepanjang fasa pemulihan berjalan kerana doktor cakap saya boleh melakukan latihan ringan seperti mengayuh basikal dan latihan yang menggunakan tangan sahaja.

ā€œApa-apa pun, semuanya bergantung kepada jurulatih adakah saya akan berada dalam skuad atau tidak, tetapi saya tidak letak harapan apa-apa kerana saya baru sahaja pulihā€, jelasnya.

Selain Penang FC menentang JDT, dua lagi perlawanan turut berlangsung membabitkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC manakala UiTM FC akan berdepan Kuala Lumpur City FC.

- Advertisement -