Penganjur temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 terus menerima tekanan apabila desakan untuk membatalkan acara sukan terbesar dunia itu semakin rancak.

Petisyen atas talian yang mahukan Tokyo 2020 dibatalkan dilancarkan dan telahpun mendapat sokongan sekitar 200 000.

Dengan baki kira kira 3 bulan sebelum temasya itu berlangsung, situasi semasa terus mencetuskan pelbagai tanda tanya terhadap Jepun dan jawatankuasa penganjur terhadap kemampuan mereka untuk menganjurkan Tokyo 2020 dengan selamat.

Peningkatan kes jangkitan baharu Covid 19 di Jepun, malah perintah berkurung yang dilaksanakan ketika ini mencetus persoalan utama; sejauh mana penganjur mampu memberi jaminan keselamatan kepada kontinjen bertanding, atlet, pegawai, sukarelawan malah penduduk tempatan daripada terhadap jangkitan Covid 19.

Kempen atas talian ‘Stop Tokyo Olimpik’ telah dilancarkan ketika Jepun sedang berdepan gelombang keempat pandemik Covid 19 dan Jepun dijangka melanjutkan tempoh perintah berkurung melibatkan beberapa buah bandar termasuk Tokyo sehingga ke bulan Mei.

Penganjur petisyen, Kenji Utsunomiya menerusi laporan media antarabangsa, mahu Tokyo 2020 dibatalkan atas faktor keselamatan dan kesejahteraan rakyat Jepun yang sedang bergelut untuk membendung Covid 19.

Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 sebelum ini kekal dengan pendirian mereka temasya tersebut akan tetap diteruskan, malah mendapat sokongan apabila Pfizer Inc dan BioNTech SE bersetuju untuk menaja vaksin.

- Advertisement -