Saingan kejohanan golf match play melibatkan dua benua, Piala Eurasia yang akan berlangsung Januari tahun depan bakal menjanjikan persaingan yang sengit.

Demikian pandangan yang disuarakan Pengerusi Penganjur Piala Eurasia, Tun Ahmad Sarji selepas mendengar pengumuman senarai 12 pemain yang akan mewakili Pasukan Asia.

“Pemain pemain yang dipilih oleh Arjun Atwal adalah pasukan yang mantap berdasarkan beberapa aspek, kedudukan dalam ranking Jelajah Asia dan ada juga yang telah memenangi kejohanan di Jelajah Eropah.

“Pasukan ini agak seimbang dimana saya lihat ada yang mempunyai kemahiran pukulan dan putting yang baik serta mempunyai pengalaman dalam match play,”kata Tun Ahmad Sarji

Tambahnya lagi, penyenaraian dua pemain negara, Gavin Kyle Green dan Nicholas Fung diharapkan mampu merealisasikan impian Arjun Atwal untuk merampas kejuaraan daripada pasukan Eropah yang dipimpin Bjorn Thomas.

Gavin Kyle Green menjadi pilihan Atwal kerana kedudukannya selaku pendahulu Order of Merit Jelajah Asia manakala pilihan ke atas Nicholas Fung kerana pengalamannya dalam match play selain banyak menyumbangkan mata untuk pasukan Asia sepanjang penyertaannya di dua edisi terdahulu.

“Bermain digelanggang sendiri tidak bermakna kita mempunyai kelebihan ke atas pasukan lain kerana kita pernah tewas. Apa yang penting adalah strategi perlawanan ketika itu.

“Pemilihan pemain pemain yang tepat dan semangat adalah antara faktor untuk menentukan pemenang,”katanya lagi.

Pihak penganjur juga menyediakan beberapa siri penjelajahan (road tour) Piala Eurasia di beberapa lokasi di sekitar lembah Kelang sebagai langkah mempromosikan kejohanan dwitahunan ini serta menarik minat orang ramai untuk ke Kelab Golf Glenmarie, Subang bermula 12 hingga 14 Januari nanti.

Piala EurAsia 2018 akan menampilkan 24 pemain, dimana hari pertama melibatkan perlawanan menggunakan format Fourball’, diikuti Foursomes’ dan saingan Singles’ pada hari ketiga.

Pasukan Eropah yang diketuai Thomas Bjorn, terdiri daripada Rafa Cabrera-Bello, Paul Casey, Paul Dunne, Ross Fisher, Matthew Fitzpatrick, Tommy Fleetwood, Tyrrell Hatton, Alex Levy, Alex Noren, Thomas Pieters, Henrik Stenson dan Bernd Wiesberger.

 

Pemain Pasukan Asia:

1. Gavin Kyle Green, 24, (MAS)

2. Phachara Khongwatmai, 18, (THA)

3. Poom Saksansin, 24, (THA)

4. SSP Chawrasia, 39, (IND)

5. Yuta Ikeda, 32, (JPN)

6. Li Hao-tong, 22, (CHN)

7. Anirban Lahiri, 30, (IND)

8. Kiradech Aphibarnrat, 28, (THA)

9. Hideto Tanihara, 39, (JPN)

10. Nicholas Fung, 27, (MAS)

11. An Byeong-hun, 26, (KOR)

12. Kang Sung-hoon, 30, (KOR)

- Advertisement -