Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berharap dapat menggunakan semula khidmat penjaga gol utama, Sharbinee Allawee Ramli bagi mengharungi musim 2018.

Penjaga gol itu tersisih selepas hanya dua perlawanan 100PLUS Liga Premier pada musim ini kerana jangkitan pada paru-paru dan selepas hampir setahun, keadaannya kini dilaporkan semakin bertambah baik setelah menjalani rawatan pemulihan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu.  

Namun, andai bekas penjaga gol kebangsaan itu yang merupakan anggota skuad Sukan SEA 2009 dan Piala AFF Suzuki 2010 tidak sempat sembuh menjelang tarikh akhir pendaftaran pemain, Irfan berharap Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) masih mengekalkan khidmatnya.

“Kepakaran dan pengalaman dia masih diperlukan pasukan ini, sudah tentu saya mahu gunakan dia sebagai pemain, dia sudah kembali menjalani latihan ringan tetapi belum turun ke padang. Saya faham pemulihan ambil masa dan dia juga perlukan masa untuk kembalikan keyakinan, kecergasan dan sebagainya.

“Jika dia pulih, tiada sebab untuk kita sisihkannya, tetapi saya serahkan kepada PBSNT untuk putuskan, cuma sekalipun dia belum pulih, saya berharap PBSNT mempertimbangkan untuk menawarkan satu jawatan lain kepadanya,” kata Irfan.

Musim 2017 menyaksikan Terengganu menghadapi masalah besar di benteng terakhir apabila ketiga-tiga penjaga gol mereka termasuklah penjaga gol B-22 negara Amierul Hakimi Awang dan Syazwan Yusoff terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan.

Ini menyebabkan sang penyu mendapatkan khidmat penjaga gol veteran berusia 39 tahun, Suffian Abdul Rahman pada jendela perpindahan kedua untuk menggalas cabaran pasukan dan berjaya memberi tentangan sengit bagi memburu kejuaraan Liga Premier kepada Kuala Lumpur sehingga perlawanan terakhir sebelum berpuas hati selaku naib juara dan kembali semula ke Liga Super selepas hanya semusim tersingkir.

Bagi musim baru, pasukan juara Piala FA 2011 itu sudahpun mempunyai tiga penjaga gol di mana selain mengekalkan Syazwan dan Amierul Hakimi, mereka turut mendapatkan khidmat Wan Azraie Wan Teh dari Pahang.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -