kelatenet (1)

Oleh Muhammad Aiman

Mungkin masih terlalu awal untuk menilik peluang melangkah jauh sehingga ke pentas final, namun sedikit peningkatan di bawah kendalian Velizar Popov serta kegagalan beberapa pasukan pilihan menyerlahkan potensi sebenar dalam saingan Piala Malaysia yang sedang rancak berlangsung, seharusnya menghadirkan senyuman di wajah penyokong Kelantan.

Tatkala juara bertahan yang juga pasukan pilihan, Selangor terus longlai dan beraksi hambar ketika kekalahan 0-1 kepada Pahang di Kuantan, The Red Warriors memanfaatkan kesempatan mengambil alih teraju Kumpulan B dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-0.

Kemenangan tipis hasil jaringan sepakan penalti Blaze Ilijoski bukanlah satu kemenangan meyakinkan dan belum memadai untuk membolehkan Kelantan dilabel pencabar kejuaraan.

Namun bagi Presiden Kelab Penyokong Siber Bolasepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net), Mahizi Mahmood, intipati lebih penting adalah keupayaan pasukan menangani tekanan isu-isu luar padang dan bangkit mencatat keputusan positif selepas hebat dikritik dek prestasi goyah dalam saingan Liga Super.

“Walaupun berdepan pelbagai kemelut dan tekanan, malah berada di dalam kumpulan yang agak sukar, TRW masih mampu menerajui Kumpulan B. Ini adalah apa yang kita harapkan sejak sekian lama, dan sudah tentunya memberi harapan tinggi kepada seluruh penyokong TRW bahawa peluang tetap ada untuk kita ke final.

“Melihat kepada prestasi semasa, sasaran piala tetap ada. Kalau dilihat kepada barisan kesebelasan diturunkan Popov pada setiap permainan, jelas sasaran dia adalah Piala Malaysia. Keputusan-keputusan positif juga mendorong penyokong kembali memenuhi stadium.

“Namun kita perlu akui perjalanan masih jauh dan kita jangan terlalu membebankan pemain dengan sasaran terlalu tinggi. Sebagai penyokong kita mengharapkan yang terbaik buat pasukan,” ujar Mahizi yang ditemui Sports247 pada Kejohanan Futsal Frenzy Raya – Carboflex Gomogi 2016 anjuran Kelate.Net di Petaling Jaya pada Sabtu.

Berdasarkan ramalan di atas kertas sebelum ini, tidak banyak harapan diletakkan ke atas Kelantan untuk mara jauh, apatah lagi menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2012 kerana mereka dijangka bertemu Johor Darul Takzim di suku akhir seandainya melepasi halangan peringkat kumpulan selaku naib juara, di belakang Selangor.

Namun kekalahan mengejut Johor Darul Takzim (JDT) kepada Perak di Ipoh yang menyaksikan skuad kendalian Mario Gomez itu tercicir ke tangga ketiga Kumpulan C dengan hanya meraih dua mata, mungkin hadir sebagai satu lagi perkhabaran ceria buat kem TRW yang pastinya mahu mengelak bertembung skuad berstatus bintang itu seandainya layak ke kelompok lapan terakhir.

- Advertisement -