stl-kelantan

Oleh Ku Mohd Lufti

Meskipun meraih tempat ketiga pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim lepas, pasukan Kelantan Warriors tetap merendah diri dan tidak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk saingan musim ini.

Jurulatihnya, Mohd Rozi Abdul Rahman, pasukannya lebih selesa digelar pasukan bukan pilihan.

“Bagi pasukan Kelantan pada saingan STL kali ini, kami menganggap pasukan kami sebagai pasukan underdog. Kita sasarkan separuh akhir sama seperti musim lalu.

“Dan sekiranya pencapaian musim ini lebih baik dari musim lalu, ianya satu bonus kepada pasukan Kelantan.

“Bagi saya, jika kita target terlalu tinggi ianya merupakan satu tekanan dan bebanan kepada pasukan kami sendiri”. Kata Mohd Rozi Abdul Rahman

Malah tidak banyak perubahan terhadap barisan pemain untuk mengharungi musim 2016.

Tambah Mohd Rozi lagi, sebagai persiapan pasukannya telah menghadapi satu kejohanan sebelum beraksi dalam STL 2016.

“Setakat ini persediaan pasukan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Kami juga beraksi dalam Sepak Takraw Grand Prix (GP) akhir di Stadium MPSJ Serdang sebelum menyertai STL”, ujar jurulatih berusia 43 tahun itu.

Kelantan Warriors akan berdepan musuh tradisi, Pulau Pinang Black Panthers.

Pasukan ini memusnahkan impian Kelantan Warriors untuk ke final pada musim 2015.

“Bagi saya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang, 50-50. Apa-apa sahaja boleh berlaku walaupun kita tahu pasukan Pulau Pinang merupakan satu pasukan yang kuat. Yang penting keyakinan itu perlu ada.

“Pulau Pinang adalah satu pasukan yang kuat, kita boleh lihat mereka juga beraksi dengan baik dalam Kejohanan GP”.

Ditanya mengenai pasukan yang dianggap mampu memberi cabaran sengit dalam STL 2016, jurulatih itu memilih Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Terengganu.

STL 2016 dijadualkan membuka tirai pada 30 September ini, melibatkan 8 pasukan yang akan berlangsung di Stadium MPSJ Serdang Jaya.

Pada saingan kali ini, format STL juga diubah daripada musim sebelum ini dalam acara berpasukan kepada acara regu pada kali ini untuk menjadikan liga kali ini lebih kompetitif.

- Advertisement -