masindo (2)

Oleh Ku Mohd Lufti

Ujian pertama Datuk Ong Kim Swee dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Indonesia, berakhir dengan kegagalan apabila kecundang 0-3.

Hanya 21 minit diperlukan skuad kendalian Alfred Riedle untuk merobek gawang Malaysia kendalian Khairul Fahmi Che Mat.

Kesilapan individu pemain negara, Mohd Fadhli Shas mudah dimanfaatkan penyerang Indonesia, Boaz Solossa untuk membuka tirai gol sekaligus meletakkan tuan rumah mendahului 1-0 seawal minit ke 6 perlawanan.

Belumpun sempat anak anak didik Datuk Ong Kim Swee memanaskan badan untuk mengatur serangan balas, giliran Brendan Gan yang melepaskan bola kepada Irfan Haarys Bachdim yang bergandingan dengan Solossa sebelum melepaskan rembatan dari jarak dekat untuk mengecewakan Khairul Fahmi Che Mat sekaligus meletakkan Indonesia selesa mendahului 2-0 di minit ke 11.

Seakan akan tergamam, percaturan dibarisan pertahanan terus longlai apabila membenarkan Solossa selesa di dalam kotak penalti sebelum menyudahkan peluang terhidang di minit ke 21 untuk gol ketiga buat Sang Garuda.

Amri Yahya yang diletak selaku penyerang dan kapten pasukan Malaysia pula gagal menemui peluang peluang terbaik untuk mengurangkan defisit gol apabila bola hantaran rakan sepasukan mudah dibaca pemain lawan.

Malah, Malaysia seakan akan tiada kreativiti untuk mencipta peluang dan hantaran – hantaran yang lebih kemas, sebaliknya pemain lawan tampak mudah mambaca strategi Malaysia sekaligus mematikan sebarang percubaan.

Indonesia yang baru sahaja kembali ke arena bolasepak selepas berdepan penggantungan tidak menampakkan sebarang ketakutan ke atas lawannya yang pernah menghampakan mereka ketika saingan akhir Piala Suzuki AFF pada 2010.

Bermain didepan penyokong sendiri tampak cukup memberikan suntikan semangat buat anak anak didik Alfred Riedle apabila terus mengasak kubu Malaysia untuk melebarkan jurang gol.

Tiada tambahan jaringan dilakar Indonesia, tatkala Malaysia semakin longlai mencari gol untuk keputusan muktamat kemenangan selesa memihak Garuda dengan keputusan 3-0.

Perlawanan persahabatan antarabangsa ini merupakan salah satu perancangan skuad Harimau Malaysia dalam persiapan ke Piala Suzuki AFF hujung tahun ini.

- Advertisement -