rahmad
Rahmad Darmawan

Oleh Muhammad Aiman

Biarpun ketinggalan agregat 1-2 kepada Selangor berikutan kekalahan di separuh akhir pertama, T-Team tetap optimis mereka mempunyai kualiti diperlukan untuk bangkit menterbalikkan keputusan dan mencipta sejarah melangkah pertama kali ke final apabila melayan kunjungan The Red Giants di gelanggang sendiri pada Sabtu.

“Saya fikir tidak mustahil kami boleh tewaskan Selangor, memang di atas kertas kami bukan pilihan dan dilabel pasukan kerdil tetapi jika prestasi semasa dijadikan ukuran kami ada kualiti untuk melakukannya,” ujar ketua jurulatih The Titans, Rahmad Dermawan.

Tambah Rahmad, “Kita juga pernah tewaskan mereka di gelanggang sendiri sebelum ini dalam Liga Super. Jadi saya yakin dengan sokongan peminat sendiri, ia akan melonjakkan semangat pemain untuk memberikan prestasi terbaik kerana kita sedar ini peluang terbaik untuk memahat sejarah gemilang buat T-Team. 

“Adalah penting kita menguasai tengah dan bermain dengan mentaliti menyerang kerana kita perlu mencari jaringan awal bagi memadam kelebihan jaringan milik Selangor, tetapi dalam masa sama kita perlu berhati-hati agar tidak melepaskan gol yang mana boleh menghukum kita.

“Kunci utama kejayaan pasukan kami melangkah sejauh ini adalah disiplin dan kerjasama sepasukan tinggi. Semua pemain memainkan peranan mereka, kita tidak bergantung harap kepada satu-satu pemain jadi saya harap mereka akan kekal tunjukkan komitmen sama dan bekerja keras sepanjang permainan untuk memastikan hasrat kita tercapai.”

Pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, T-Team akan turun tanpa kelibat pemain import Abdoulaiye Maiga namun  mendapat semula khidmat pemain perancang utama, Dilshod Sharafetdinov.

Sharafetdinov yang merupakan wira pasukan pantai timur itu ketika menyingkirkan Felda United di suku akhir, tidak beraksi ketika separuh akhir pertama kerana menjalani penggantungan perlawanan dan bakal menjadi sandaran bersamasama Makan Konate dan Patrick Dos Santos bagi mengucar-kacirkan barisan pertahanan Selangor.

Untuk rekod, ketika aksi separuh akhir pertama yang berlangsung di Shah Alam bulan lalu, Selangor bangkit daripada ketinggalan kepada jaringan penalti Patrick untuk melakar kemenangan menerusi jaringan penyerang kebangsaan Hazwan Bakri dan Ugochukwu Ukah.   

- Advertisement -