PERANCANGAN UNTUK PEMBUKAAN SEKTOR SUKAN BOLA SEPAK UNTUK LATIHAN PENUH BERKONTAK DAN KEBENARAN UNTUK KEJOHANAN SUKAN SECARA BERPERINGKAT AKAN DIBAWA KE MESYUARAT MENTERI MENTERI MENGENAI PELAKSANAAN PKP

Kerajaan telah mengumumkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi fasa 2 bermula 15 Jun 2020 yang lepas dengan kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact), di fasiliti tertutup dan terbuka (indoor and outdoor facilities) serta pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup (indoor venue seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusatpusat sukan yang lain) untuk sukan non-contact.

Kebenaran turut diberikan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan sukan tempur seperti silat, taekwondo, dsb untuk memulakan program latihan tanpa sentuhan badan (non-contact training) dengan penjarakan sosial 3 hingga 5 meter antara seorang dengan seorang yang lain semasa latihan.

Ini secara langsung telah membolehkan pasukan bola sepak kebangsaan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga pasukan bola sepak negeri dan kelab-kelab di bawah MFL serta akademi-akademi yang berdaftar untuk memulakan latihan bolasepak secara tiada sentuhan badan (non-contact training) mengikut SOP yang telah ditetapkan sejak 15 Jun 2020.

Aktiviti latihan renang (termasuk juga aktiviti latihan terjun dan latihan menyelam) juga telah dibenarkan di kolam renang mengikut sesi tertentu yang ditetapkan mengikut kapasiti kolam renang untuk atlet dan peserta dalam program-program latihan yang berstruktur dan terkawal yang dikendalikan di peringkat kebangsaan, negeri, kelab dan juga akademi swasta bermula 25 Jun 2020 dengan
pematuhan kepada SOP MKN yang amat ketat.

Melihat kepada perkembangan mengenai Covid-19 di Malaysia yang terkawal disamping laporan pemantauan pematuhan kepada SOP di kalangan penggiat sukan dan operator premis yang amat baik setakat ini, saya akan membawa cadangan ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP pada minggu hadapan, Khamis 9 Julai 2020 untuk sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur untuk dibenarkan latihan penuh secara berkontak.

Saya juga akan mencadangkan agar penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara berperingkat bermula dengan aktiviti yang tidak ada sentuhan badan (noncontact) seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah, sukan air dan sukan ekstrem untuk dilaksanakan.

Cadangan kebenaran untuk latihan secara kontak penuh (full contact training) ini akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk Liga Bola Sepak (Malaysia Football
League) dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat
dimulakan dalam masa yang terdekat.

Walau bagaimanapun, cadangan ini masih tertakluk kepada pandangan pihak MKN dan KKM serta persetujuan ahli-ahli Mesyuarat Khas MenteriMenteri tersebut nanti.

Kementerian Belia dan Sukan juga ada mengadakan sesi libat urus (engagement session) bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa untuk berkongsi pandangan
pembangunan sukan di Malaysia dan juga untuk sama-sama berbincang cadangan SOP-SOP yang bersesuaian kearah pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berperingkat.

Justeru itu, KBS akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat.

DATO’ SRI REEZAL MERICAN BIN NAINA MERICAN
MENTERI BELIA DAN SUKAN MALAYSIA

TERIMA KASIH MKN!! TERIMA KASIH KKM!!
TERIMA KASIH KBS!!!

- Advertisement -