Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini menerusi satu sidang media bersama Presiden, Dato’ Sri Subahan Kamal telah mengumumkan En. Nishel Kumar selaku Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) KHM yang baru dan En. Nishel Kumar telah memulakan tugasnya bersama KHM pada 1 Mac 2023.

Jelas Dato’ Sri Subahan Kamal, selain daripada memiliki Sarjana dalam bidang Sains Sukan daripada Universiti Malaya dan mempunyai 82 caps bersama pasukan kebangsaan, latar belakang En. Nishel Kumar yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan seperti di Kementerian Belia dan Sukan, Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), dan Ketua Komersial Institut Sukan Negara (ISN) antara faktor utama KHM melihat beliau merupakan individu yang cukup sesuai bagi memegang jawatan sebagai KPE KHM.

Dato’ Sri Subahan Kamal turut yakin kredibiliti yang dimiliki oleh En. Nishel Kumar mampu untuk membantu dalam memastikan kelancaran penganjuran Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur serta kelancaran pentadbiran di KHM.

“Pelantikan beliau akan memberikan nilai tambah kepada kami di KHM kerana beliau seorang bekas pemain kebangsaan yang memahami sukan ini sendiri selain kebanyakan jurulatih adalah mereka yang pernah beraksi bersama beliau.

“Beliau lebih memahami sukan ini dan boleh memberikan pandangan kepada saya tentang apa yang perlu ditambah baik dan sebagainya kerana dari sudut teknikal.

“Saya cukup yakin beliau mampu untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan cukup baik. Bagaimanapun, tugas beliau bukannya mudah terutamanya menjelang penganjuran Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) kerana meminjamkan beliau kepada kami,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal.

Dalam sidang media yang sama, Dato’ Sri Subahan Kamal turut mengumumkan pelantikan Tn. Haji Mohd Sayuti Abdul Samat selaku Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM yang baru. Tn. Haji Sayuti merupakan Presiden Persatuan Hoki Perak dan bekas penjaga gol kebangsaan yang telah berkecimpung selama 45 tahun dalam arena hoki di Malaysia.

“Oleh kerana itu juga, saya telah melantik Tn. Haji Sayuti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM. Beliau bekas penjaga gol kebangsaan yang mempunyai 45 caps antarabangsa dan saya yakin beliau juga mampu untuk membantu saya dalam menggerakkan sukan hoki di Malaysia.

Sementara itu, Dato’ Sri Subahan Kamal turut mengumumkan pelantikan En. Ganesh Shanmugam, Presiden Persatuan Hoki Selangor, selaku Ahli Lembaga Eksekutif Bebas KHM.

- Advertisement -