doping.athletics

Oleh Muhammad Aiman

Pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan melakar sejarah buat Malaysia apabila mengegar bumi Vietnam dengan memenangi pingat emas acara 100m Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 pada Sabtu.

Khairul Hafiz merekodkan catatan masa terbaik peribadinya 10.36s untuk muncul atlet pertama negara memenangi acara riben biru di kejohanan dwitahunan itu, di Stadium Thong Nhat di bandar Ho Chi Minh.

Di sebalik perlumbaan dimulakan lewat satu jam kerana hujan lebat, atlet berusia 19 tahun itu tetap tampil pada prestasi terbaik untuk melakar kejayaan tertinggi kariernya, ketinggalan hanya 0.06s di belakang rekod kebangsaan 10.30s milik Watson Nyambek.

Khairul Hafiz menewaskan pelari Jepun Ippei Takeda yang memenangi pingat perak dengan catatan 10.41s, manakala pelari Arab Saudi Abdullah Abkar Mohamed memenangi gangsa.

“Saya langsung tidak menduga akan meraih pingat emas. Malah saya bukannya pelari pilihan, tetapi saya hanya berlari sepantas mungkin di final dan terkejut untuk menamatkan perlumbaan mengatasi semua pelari lain. Ini adalah detik terbaik karier saya,” ujar atlet kelahiran Melaka itu. 

Untuk rekod, kemenangan Khairul Hafiz juga menyaksikan dia menjadi atlet kedua negara untuk menang emas di Kejohanan Remaja Asia sejak ia diperkenalkan pada 1986 – dua tahun lalu, Siti Nur Atiqah Abdul Razak melakukannya dalam acara 400m di Taipei.

Hasrat menyaksikan pelari terpantas negara ketika ini, Badrul Hisyam Abdul Manap untuk turut berkesudahan di kedudukan podium bagaimanapun tidak kesampaian apabila pemenang pingat emas Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN itu sekadar merakam 10.54s dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abbas yang jelas teruja dengan kejayaan Khairul Hafiz berkata, “Dia sepatutnya boleh memecahkan rekod kebangsaaan jika tidak kerana trek yang licin. Ia satu pencapaian hebat buat olahraga Malaysia.

“Atlet remaja kita telah menunjukkan peningkatan menakjubkan dan ianya cukup bagus untuk melihat kita boleh bersaing dengan pelari terbaik Asia di peringkat remaja. Walaupun Badrul tidak memenangi pingat, dia telah melakukan yang sebaik mungkin untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima.”

Sementara itu, kem negara turut ceria apabila kuartet 4x100m lelaki gandingan Khairul hafiz, Badrul, Haiqal Hanafi dan Asnawi Hisham mara ke final yang akan berlangsung Ahad setelah melakar catatan masa terpantas 39.94s di separuh akhir.

Mohd Rizzua Haizad pula mara ke aksi final 110m lari berpagar lelaki setelah mencatat masa kedua terpantas 13.87 di separuh akhir.

Shereen Samson Vallabouy yang diletakkan harapan untuk meraih pingat dalam acara 400m pula tampil mengecewakan apabila sekadar berkesudahan di tempat kelapan dalam aksi final setelah mencatat 59.31s jauh tersasar dari catatan peribadi terbaiknya 54.26s.

- Advertisement -