29th SEA Games KL2017 Olahraga Athletics 100m - Khairul Hafiz Jantan

Setelah ‘menolak’ pencalonan secara ‘wildcard’ untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham pada Mac depan, Khairul Hafiz Jantan masih berpeluang untuk beraksi di kejohanan itu, namun dia perlu mengesahkan tempatnya secara merit.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata tiket untuk layak secara merit hanya akan ditutup pada pertengahan Februari justeru jika raja pecut Asia Tenggara itu mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Asia Dalam Dewan di Tehran, Iran dari 1-3 Februari depan.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, Khairul Hafiz adalah pilihan pertama untuk kita hantar beraksi di Birmingham atas tiket wildcard. Tetapi tiada jawapan diberikan oleh jurulatihnya (Mohd Puad Kassim) sehingga tarikh tutup pendaftaran pada 1 Disember. Itu sebabnya kita calonkan nama Muhammad Hakimi (Ismail).

“Sekarang Hakimi tidak boleh tarik diri atau digantikan dengan atlet atau acara lain, jika tidak KOM akan didenda RM5,000. Jadi jika Khairul Hafiz mahu beraksi di Birmingham, dia kena ambil bahagian dalam kejohanan di Iran itu dan menepati had kelayakan bagi jarak 60m iaitu 6.63 saat sepertimana ditetapkan Kesatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

“Jika dia berjaya, dia akan layak secara automatik dan tiket ‘wildcard’ akan terbatal tetapi jika dia gagal, maka Hakimi akan meneruskan cabaran untuk Malaysia. Saya harap ini dapat memberi penjelasan tentang situasi ini,” kata Karim kepada pemberita selepas taklimat Program Penyediaan Atlet Ke Arah Temasya Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara, pada Rabu.

Minggu lalu, tindakan KOM menggugurkan nama Khairul Hafiz dan menggantikannya dengan Hakimi, jaguh lompat kijang Asia Tenggara bagi beraksi di Birmingham mencetus tanda tanya pelari berusia 19 tahun itu yang memenangi pingat emas acara 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sambil mengakui kecewa dengan tindakan tersebut, dia menafikan bahawa menolak peluang beraksi di Kejohanan Dunia dan menjelaskan tidak tahu mengenai perkara itu, dan menyimpan hasrat untuk tetap diberi peluang beraksi di sana.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -