Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Liability Partnership, FMLLP - Kevin Ramalingam
Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Liability Partnership, FMLLP – Kevin Ramalingam

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran memotong mata pasukan yang mana penyokongnya menimbulkan keganasan atau rusuhan di dalam atau luar stadium, sebagai satu cara menangani masalah itu daripada terus berulang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata jika sebelum ini tindakan mengenakan denda dikenakan kepada persatuan bolasepak negeri atau kelab yang gagal mengawal kelakuan penyokong mereka di stadium, langkah itu kini tidak lagi relevan.

Justeru, satu kaedah lebih signifikan perlu diambil dan langkah pemotongan mata menurut Khairy antara yang difikirkan sesuai.

“Mengenakan denda tidak lagi satu tindakan yang berhasil, ini disebabkan pasukan atau persatuan bolasepak yang membayar denda tersebut, jadi penyokong tidak terjejas atau terkesan dengan tindakan itu dan cenderung mahu mengulangi perkara sama.

“Jika potong mata, mereka sebagai penyokong akan turut sama terkesan dan sudah tentu serik mahu melakukannya lagi,” ujar Khairy ketika diminta pandangannya mengenai kekecohan dan rusuhan penyokong yang tercetus di Stadium Ipoh selepas berakhir perlawanan antara Perak dan JDT pada Sabtu.

Dalam insiden itu, tiga termasuk seorang jurugambar mengalami kecederaan akibat dibaling objek selain dipukul dan dipijak.

Sementara itu, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dalam satu kenyataan berkata mereka memandang serius dan mengutuk sekeras-kerasnya insiden tersebut dan sedang menunggu laporan dari komissioner perlawanan serta Persatuan Bolasepak Perak untuk tindakan lanjut.

FMLLP turut memohon mana-mana penyokong yang mempunyai sebarang bukti mengenai kejadian tersebut untuk berkongsi maklumat bersama mereka mahupun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Keselamatan FAM untuk membantu siasatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, “Sejak insiden keganasan di Stadium Selayang, FMLLP telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan kerjasama dari pihak-pihak yang terlibat termasuk dari pihak berkuasa dan berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap pelaku keganasan ini.

“Selama ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selalu mengingatkan FMLLP bahawa mereka mahu terlibat secara langsung di dalam bahagian integriti dan keselamatan. Jadi, kami berharap bahawa Jawatankuasa Keselamatan FAM akan membantu untuk memastikan perkara sebegini tidak berulang dalam Liga Malaysia.”

Kevin turun menegaskan FMLLP akan mengkaji serta memperkemaskan protokol keselamatan media dan berharap ianya akan diikuti oleh petugas media di masa hadapan namun dalam masa sama mahu petugas media turut mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya bagi mengelak sebarang kecelakaan menimpa.

- Advertisement -