Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah mengambil satu lagi langkah baru apabila menghantar dua Jurulatih Penjaga Gol Kebangsaan S. Kumar dan Roslan Jamaluddin ke Amsterdam, Belanda, bagi menyertai Akademi Penjaga Gol Martijn Drijver, bermula 24 Julai hingga 6 Ogos 2022.

Pendekatan diambil oleh KHM adalah untuk memberikan pendedahan dan mempersiapkan mereka menjelang beberapa kejohanan besar seperti Hoki Piala Dunia Lelaki, India, 2023 dan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur, 2023 pada Disember tahun hadapan.

Program yang akan disertai oleh S. Kumar dan Roslan Jamaluddin ini juga turut memberikan satu pembelajaran baru kepada mereka tentang bagaimana untuk mengendalikan kursus latihan selain bertukar-tukar ilmu bersama barisan jurulatih terbaik dunia. Ilmu yang dimiliki mereka turut dilihat mampu untuk membantu meningkatkan lagi program akar umbi di Malaysia.

Jelas Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal, apa yang KHM mahukan daripada kedua-dua jurulatih ini selepas mereka pulang daripada menyertai akademi tersebut adalah untuk menyalurkan pengalaman dan ilmu yang diperolehi kepada semua jurulatih remaja di Malaysia.

“KHM telah membuat perancangan di mana selepas Kumar dan Roslan pulang daripada Amsterdam, kami akan menganjurkan beberapa klinik kejurulatihan penjaga gol di mana kedua-dua mereka dan turun ke negeri-negeri dan bekerjasama dengan Persatuan Hoki Negeri.

“Mereka juga akan menurunkan ilmu yang telah mereka perolehi kepada jurulatih-jurulatih yang bernaung di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP).

“KHM dalam pada itu turut mempunyai perancangan untuk mengetengahkan jurulatih penjaga gol wanita dan kami kini dalam fasa untuk mengenalpasti jurulatih tersebut kerana kami tidak hanya memandang untuk mengetengahkan jurulatih penjaga gol lelaki tetapi juga ingin memperkasakan jurulatih wanita,” jelas Dato’ Sri Subahan Kamal yang turut berkongsi bahawa Kumar dan Roslan akan berlepas ke Amsterdam pada malam ini.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Subahan Kamal turut mengumumkan tarikh baru Penganjuran Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Ipoh, Perak adalah pada 1 hingga 10 November 2022.

Tarikh baru tersebut telah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dan pengesahan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Kami telah mendapat persetujuan daripada beberapa negara untuk menyertai kejohanan tersebut dan senarai pasukan yang bertanding akan diumumkan dalam masa terdekat, di mana enam pasukan akan menyertai kejohanan edisi kali ini,” jelas beliau dalam sidang media yang berlangsung hari ini.

 

- Advertisement -