Susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang mengkaji pembentangan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi kelonggaran sektor sukan dan rekreasi khususnya berkaitan aktiviti sukan luar, gimnasium dalam kawasan kejiranan serta aktiviti tidak membabitkan sentuhan serta tanpa kehadiran orang ramai.

Antara dibentangkan oleh KBS adalah SOP latihan atlet secara quarantine-based approach (program latihan berpusat secara tertutup dan terkawal) serta SOP kejohanan industri sukan berimpak tinggi seperti liga bola sepak, liga hoki dan liga sepak takraw mengikut model gelembung sukan.

Perkembangan ini pastinya perkara yang dinanti nantikan semua pemegang taruh yang terlibat.

Tidak terkecuali, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang nyata gembira dan berharap saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2021 dapat dilangsungkan.

Jelas Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal, TNB MHL 2021 menjadi tunjang utama kepada prestasi pasukan senior kebangsaan serta skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita kerana penganjuran liga tersebut merupakan antara platform untuk pemain mendapatkan sentuhan perlawanan serta sebagai persediaan kepada pasukan negara sebelum menghadapi perlawanan akan datang terutamanya kejohanan antarabangsa.

“Penganjuran TNB MHL 2021 juga tentunya akan memberi impak kepada arena hoki di Malaysia dari sudut kelangsungan ekonomi pemain serta kepercayaan pihak penaja untuk terus menghulurkan penajaan dan tentunya akan membantu merancakkan perjalanan sukan hoki di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KHM.

Sebelum ini, KHM terpaksa menunda kejohanan TNB MHL 2021 yang dijadual bermula pada 14 Jan ke Julai atau Ogos depan, selaras dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelaksanaan semula PKP bermula 13 hingga 26 Jan lepas.

Mengulas lanjut, Subahan berkata pihaknya akan memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang bakal dikeluarkan selepas mendapat kelulusan pihak kerajaan akan dipatuhi sepenuhnya ketika penganjuran TNB MHL 2021.

Beliau berharap semua pihak akan bersama-sama menunjukkan tahap disiplin tinggi untuk mengikuti segala SOP serta ketetapan yang bakal dibuat supaya kelulusan diberikan kerajaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

 

- Advertisement -