Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia buat julung-julung kalinya akan diperkenalkan dan ianya dirancang bakal berlangsung pada 17 Oktober hingga 20 Disember 2020 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim dan ia pastinya menjadi satu berita yang mengembirakan buat peminat sukan tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, Shurizan Mansor selepas mesyuarat berakhir hari ini di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Menurut Shurizan, jemputan penyertaan akan dihantar kepada semua Persatuan Hoki Negeri serta kelab-kelab Hoki Dalam Dewan yang berminat untuk mengambil bahagian dalam masa terdekat.

“Kami merancang untuk menganjurkan liga pada 17 Oktober hingga 20 Disember. Dalam masa terdekat, kami akan mengeluarkan jemputan penyertaan kepada semua Persatuan Hoki Negeri dan juga kelab-kelab Hoki Dalam Dewan di Malaysia untuk menyertai saingan liga.

“Tarikh tutup untuk semua pasukan menghantar borang penyertaan juga akan dimaklumkan nanti.

“Buat julung-julung kalinya Liga Hoki Dalam Dewan diperkenalkan. Kami percaya sambutan yang memberangsangkan akan diterima daripada Persatuan Hoki Negeri, dan kelab-kelab Hoki Dalam Dewan dalam negara. “Ini juga merupakan peluang untuk Persatuan Hoki Negeri, dan kelab-kelab tersebut untuk bersaing merebut gelaran juara bagi edisi sulung.

“Kami turut merancang untuk menganjurkan saingan secara aksi timbal balik. Perlawanan juga akan dijalankan pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bermula dari tarikh yang telah dirancangkan.

“Pemilihan UPSI selaku venue pertandingan kerana kami melihat UPSI memiliki kemudahan yang cukup baik termasuk dari segi penginapan yang akan memudahkan setiap pasukan yang bertanding.

“Selain itu, dewan perlawanan yang dimiliki mereka juga menepati piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“UPSI memiliki tiga gelanggang di mana kami akan menggunakan satu sebagai gelanggang pertandingan sementara yang lain-lain akan dijadikan sebagai gelanggang pemanas badan untuk pasukan-pasukan yang bertanding,” jelasnya.

Dalam perkembangan yang sama, Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah turut merancang untuk mengadakan Bangkel Pengenalan Hoki Dalam Dewan yang dijangka akan dilaksanakan pada 24-26 Ogos depan di UPSI.

- Advertisement -