fazrul-hazli-kadri
Fazrul Hazli Kadri

Oleh Muhammad Aiman

Tidak banyak rombakan dibuat ketua jurulatih, Dato’ Ong Kim Swee terhadap skuadnya apabila mengekalkan 20 daripada 24 pemain yang disenaraikan ketika kekalahan memalukan 0-3 kepada Indonesia dua minggu lalu.

Dalam senarai terbaru pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Afghanistan bulan depan, Kim Swee menyenaraikan 25 pemain termasuk lima wajah baru iaitu Hadin Azman (Felda United, gambar utama), Fazrul Hazli Kadri (Perak), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) serta Rizal Ghazali dan Syazwan Zainon masing-masing dari Kedah.

Manakala empat pemain digugurkan iaitu Brendan Gan (Kelantan) kerana kecederaan, serta Wan Zack Haikal (Kelantan), Amer Saidin (JDT II) dan Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka) pula tidak dipanggil.

“Pemain-pemain baru yang dipanggil ini akan diberi peluang membuktikan kemampuan dalam dua perlawanan ini (menentang Singapura pada 7 Oktober dan Afghanistan pada 11 Oktober) untuk tersenarai ke Piala AFF Suzuki 2016,” kata Kim Swee.

Tambah jurulatih berusia 45 tahun itu, “Pemain yang digugurkan, bukan bermakna mereka terkeluar terus tetapi saya ingin melihat pemain-pemain lain supaya mereka ini diberi peluang yang sama. Saya tak boleh senaraikan kesemua 28 pemain kali ini.

“Lagipun saya sudah mengetahui kemampuan Wan Zack, Amer dan Khair, jadi yang penting saya harus memberi peluang juga kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan mereka.”

Kumpulan pertama 12 pemain yang disenaraikan perlu melapor diri pada 27 September manakala baki 13 pemain dari Kedah, PDRM, Selangor dan T-Team yang terlibat dengan separuh akhir pertama Piala Malaysia serta pemain-pemain JDT yang terlibat dengan separuh akhir Piala AFC pula diminta melapor diri pada 2 Oktober.

“Saya memilih untuk memulakan kem latihan pusat lebih awal kerana 12 pemain yang tidak terbabit dengan separuh akhir Piala Malaysia dan AFC itu adalah kebanyakannya posisi pertahanan.

“Shahrul (Saad), Ronny (Harun), Matthew (Davies), Khuzaimi dan Nazirul (Perak) adalah pemain pertahanan. Jadi ini memberi peluang kepada saya untuk bekerja lebih dan fokus kepada bahagian ini di mana saya boleh melakukan lebih banyak latihan-latihan berkumpulan terutama di bahagian pertahanan.

Untuk rekod, kem latihan pusat ini adalah yang terakhir buat Kim Swee untuk menilai keupayaan barisan pemainnya sebelum dia menamakan pemain bagi fasa latihan terakhir bagi menghadapi Piala AFF Suzuki yang akan berlangsung di Myanmar dan Filipina pada November depan.   

- Advertisement -