Oleh Muhammad Aiman

Pasukan KL Petaling Putra FC dan KL City FC berjaya menyambar baki dua slot ke Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2017 selepas berakhirnya hari ketiga pusingan kelayakan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Mereka mengiringi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang terdahulu muncul pasukan pertama berjaya layak ke LFK 2017 pada hari kedua saingan kelayakan semalam selepas sah bergelar juara Kumpulan B biarpun masih berbaki satu perlawanan.

Aksi pada Jumaat menyaksikan KL Petaling Putra FC kendalian Mohd Shafik Ezdee Mohd Nordin muncul pasukan kedua layak selepas berjaya mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas KL City FC dalam aksi terakhir mereka, pagi tadi.

Kemenangan itu membolehkan KL Petaling Putra FC layak secara automatik setelah bergelar juara Kumpulan A dengan sembilan mata diikuti KL City FC selaku naib juara kumpulan dengan tujuh mata, berkelebihan perbezaan gol berbanding pasukan tangga ketiga, Sabah Quilmes FC yang turut mengumpul tujuh mata.

Sarawak yang berjaya membelasah KL Imigresen FC 9-1 pada aksi terakhir menamatkan saingan di tangga keempat dengan enam mata manakala KL Imigresen di tangga kelima, tanpa sebarang mata.

KL City FC kendalian bekas pemain futsal kebangsaan, Jerry Dinesh Pireira pula mengisi slot terakhir layak ke LFK 2017 selepas menewaskan KSMR Kangar FC 2-1 pada perlawanan playoff.

KSMR Kangar FC bimbingan Bakri Baharom layak ke perlawanan playoff selaku naib juara Kumpulan B selepas berjaya menewaskan ATM 15-7 pada perlawanan terakhir mereka, petang tadi.

Terdahulu dalam satu lagi aksi Kumpulan B, Pulau Pinang yang memerlukan kemenangan sekadar mencatat keputusan seri 3-3 menentang MBPP.

MBPP bergelar juara Kumpulan B dengan 10 mata diikuti KSMR Kangar FC selaku naib juara dengan lima mata, diikuti Pulau Pinang di tangga ketiga, juga dengan lima mata tetapi dipisahkan jumlah jaringan besar KSMR Kangar FC biarpun sama perbezaan gol, ATM dengan empat mata dan Kuantan Rangers FC dengan dua mata.

Saingan LFK 2017 membabitkan 10 pasukan lelaki dan tujuh pasukan wanita bakal membuka tirai saingan pada 4 Februari 2017.

MBPP, KL Petaling Putra FC dan KL City FC bakal menyertai tujuh pasukan lain bagi kategori lelaki iaitu juara bertahan Felda United, T-Team, Kuala Lumpur, Melaka, Perak, Pahang dan Sabah.

Kategori wanita pula menampilkan Felda United, Sabah, PDRM, Perak dan Kuala Lumpur serta dua pasukan baharu, ATM dan Sarawak. Juara bertahan, Selangor telah menarik diri bersama-sama pasukan lelaki mereka.

- Advertisement -