Naib juara musim lalu, Kuala Lumpur Thunder kembali ke landasan kemenangan apabila tampil bertenaga untuk menewaskan Kelantan Warriors 2-0 dalam aksi Sepaktakraw League (STL) Premier yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Serdang Jaya pada Ahad.

Tewas tiga perlawanan berturut-turut kepada Penang Black Panthers, Terengganu Turtles dan Perak Bison sebelum ini, KL Thunder sedar mereka tiada pilihan selain menang aksi getir ini bagi menghidupkan peluang berada di kedudukan tiga teratas dan layak ke STL Champions Cup.

Turun menentang Kelantan Warriors yang menang tiga aksi terakhir, KL Thunder bimbingan Azhar Sarabini menjangkakan saingan sukar namun sebaliknya berlaku apabila trio gandingan Aizat Nor Azmi-Amirul Zazwan Amir-Norhafizi Razak meraih kemenangan mudah 21-13, 21-14.

Gandingan Naim Izani Noor-Hisyam Mat-Aiman Azwawi yang dipertaruhkan Kelantan Warriors kelihatan tidak meyakinkan sejak dari mula dan gagal mengulangi prestasi cemerlang sepertimana ditunjukkan ketika mengejutkan Terengganu Turtles pada Sabtu.

ā€œLega untuk akhirnya menang selepas beberapa siri kekalahan. Memang sasaran kami mahu menang perlawanan ini memandangkan sebelum perlawanan kami di kedudukan ketujuh. Kalau tewas lagi ia akan menyebabkan kami semakin jauh dari kedudukan tiga teratas.

ā€œJadi saya beritahu pemain buatlah macam mana sekalipun asalkan menang, tunjukkan tahap permainan sebenar dan saya gembira mereka sahut cabaran itu walaupun Aizat masih dalam proses pemulihan kecederaan,ā€ kata Azhar.

Kemenangan ketiga buat KL Thunder selepas mengharungi lapan perlawanan menyaksikan mereka kini berada di kedudukan keenam manakala Kelantan Warriors yang tewas buat kali keempat pula kekal di tangga ketiga.

Dalam aksi lain, ATM Guardians menambah derita Terengganu Turtles apabila menghadiahkan pasukan pantai timur itu kekalahan kedua berturut-turut sekaligus menyaksikan mereka terlepas peluang merapatkan kedudukan dengan pendahulu, Penang Black Panthers.

Pertarungan sengit dan mendebarkan antara kedua-dua pasukan menyaksikan trio ATM Guardians, Nor Faizzul Razak-Hairul Hazizi-Khairuddin Adenan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk melakar kemenangan dramatik 2-1 (24-25, 21-19, 22-20) ke atas gandingan Hanafiah Dollah-Zulkifli Razak-Safarudin Abu Bakar.Ā  Ā 

Terengganu Turtles bagaimanapun kekal di tangga kedua dengan 10 mata hasil daripada lima kemenangan manakala ATM Guardians pula di kedudukan kelima.

Pertembungan antara dua pasukan di kedudukan terbawah pula menyaksikan Selangor Pistons turut bangkit dari tiga kekalahan berturut-turut untuk menewaskan Johor Tigris 2-1.

Gandingan Muqlis Borhan-Sufi Hashim-Safirulnizam Zainal tewas set pertama 16-21 namun menang dua set berikutnya 21-19, 22-20 untuk membantu Selangor Pistons melakar kemenangan ketiga mereka.

Sementara itu, empat aksi Divisyen Satu berlangsung pada Ahad dengan Sabah mencatat kemenangan ketiga dengan menewaskan Perlis Vipers 2-0 (21-7, 21-18), PSM Mavericks menewaskan Sarawak Hunter 2-0 (21-12, 21-17), Putrajaya Cyborg menewaskan PDRM Defenders 2-0 (21-13, 21-19) dan Negeri Sembilan Antlers menang 2-0 (21-19, 21-9) ke atas Labuan Oilers. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -