Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa menyatakan rasa terkilannya dengan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Dato’ Zaiton Othman menangguhkan Kongres Tahunan Ke-31 persatuan itu yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ini.

Menurut Nokman, tindakan Dato’ Zaiton menangguhkan kongres tersebut dengan hanya mendengar dakwaan sebelah pihak mengenai ketidaktelusan dalam proses pencalonan menimbulkan persoalan mengenai integriti PJS selain membebankan persatuan itu terutamanya dari segi wang ringgit dan persiapan pasukan untuk musim 2019.

“Saya keliru kerana sebelum ini ketika berjumpa PJS semuanya OK, tetapi sekarang lain pula cerita. Beliau sepatutnya mendengar penjelasan dari pihak kami bukan hanya sebelah pihak. Beliau tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak dan ini mengecewakan kami.

“Bayangkan tempat untuk kongres itu diadakan sudah ditempah tetapi disebabkan notis saat akhir begini ianya terpaksa dibatalkan. Malah, kami tidak dapat meneruskan aktiviti perpindahan atau jual beli pemain dalam tempoh terdekat ini kerana menanti kongres ini berakhir.

“Kami cuba menyelesaikannya secepat mungkin, namun kemelut yang dibawa ‘tangan ghaib’ ini menyebabkan semuanya tersangkut dan mengambil masa lebih lama,” ujar Nokman.

Bagaimanapun, Nokman menyatakan KLFA akur dengan keputusan PJS itu dan berpendapat pihaknya tidak perlu gentar untuk mendepani isu ini kerana yakin berada di pihak yang benar dan tugas yang dijalankannya adalah mengikut perlembagaan persatuan.

Sebagai makluman, kemelut berhubung kongres ini tercetus apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden KLFA mendesak PJS menangguhkan kongres itu berikutan wujud banyak unsur meragukan terutamanya apabila dia sendiri gagal mendapat jumlah pencalonan mencukupi untuk mencabar penyandang jawatan presiden Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Rashid hanya menerima 12 pencalonan berbanding 16 pada awalnya dan ia adalah berdasarkan Salinan boring pencalonan semua ahli gabungan yang menyokongnya.

Malah Rashid juga mahu membawa kes itu kepada Jawatankuasa Integriti FAM selepas mendakwa memiliki bukti kukuh mengenai berlakunya unsur paksaan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Justeru, Zaiton pada Jumaat menjelaskan Pejabat PJS mengambil serius kemelut tersebut dan penangguhan kongres itu wajar dilakukan untuk memberi ruang kepada proses siasatan dan pendengaran dibuat.

“Kemelut ini menjadi perhatian umum menerusi media termasuk media social dan menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli gabungan serta peminat bolasepak Kuala Lumpur. Pejabat ini turut menerima surat bantahan ahli gabungan KLFA yang tidak berpuas hati dengan kaedah pengurusan dan pelaksanaan kongres yang disifatkan menafikan hak ahli,” kata Zaiton dalam satu kenyataan.

Zaiton mengesahkan telah membincangkan perkara itu dengan wakil dari Persatuan Bolasepak Malaysia mengenai kemelut ini dan memaklumkan bahawa satu perjumpaan dengan pihak KLFA akan diadakan dalam tempoh terdekat.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -