Selepas keputusan yang positif dipamerkan di dua sirkit di Putrajaya dan Melaka, pasukan Kuala Lumpur tidak mahu menutup saingan Kejohanan Badminton 100PLUS Remaja Sirkit Grand Final yang berlangsung di Seremban esok.

Kuala Lumpur tidak hanya memfokuskan kategori bawah 16 tahun sahaja, Ketua Jurulatihnya, Raymond Seevon dan barisan kejurulatihannya akan memastikan kesemua pemain bersedia dari aspek kemahiran, mental dan fizikal.

“Ketika sirkit kedua di Melaka, kami mencapai keputusan yang lebih baik berbanding di Putrjaya. Ia hasil persiapan rapi daripada jurulatih yang mahu mencapai sebanyak mungkin kemenangan.

“Tetapi, segalanya bergantung kepada pemain pemain bagaimana mereka mahu bermain dan meraih kemenangan ketika digelanggang dan sudah tentu kami mengharapkan mereka untuk bekerja keras,”kata Raymond.

Bagi kategori bawah 16 tahun, Odelia Wong Qiao Shi menjadi sandaran untuk memburu gelaran juara dalam aksi perseorangan wanita.

Malah, Odelia juga akan menggalas tugas dalam acara bergu wanita, bergandingan bersama sama Wong Kha Mun.

Manakala Tan Jia Jie antara sandaran Kuala Lumpur untuk memburu gelaran juara bagi acara perseorangan lelaki.

Namun, laluan di Grand Final yang akan bermula pada Selasa (4 Julai)  sedikit berbeza kerana saingan bukan sahaja datang daripada pemain pemain yang berlatih dibawah persatuan negeri.

Namun, Raymond tetap optimis untuk meraih kejayaan dalam setiap kategori yang  dipertandingkan sekaligus mara ke final.

“Saingan kali ini agak berbeza kerana ada pemain pemain yang bernaung dibawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan turun beraksi.

“Tetapi secara umumnya, kami melihat peluang tetap ada untuk pemain pemain saya melakar kemenangan,”kata Raymond lagi.

Sirkit pertama telah berlangsung pada Mac lalu di mana zon A berlangsung di Pahang (7-11 Mac), manakala Zon B diadakan di Terengganu (6-10 Mac) sementara Zon C berlangsung di Putrajaya (7-11 Mac).

Manakala sirkit kedua pula berlangsung pada bulan Mei dimana Sabah menjadi tuan rumah bagi Zon A (2-6 Mei) sementara Kedah menjadi hos bagi Zon B (1-5 Mei) diikuti Zon C berlangsung di Melaka (3-6 Mei)

- Advertisement -